Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis tahan dua lagi suspek 'periksa' kereta polis di PRK Rantau

Polis hari ini menahan dua lagi lelaki yang disyaki bertindak memeriksa kereta peronda polis (MPV) di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata kedua-dua mereka ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Nilai dan Rantau pada kira-kira pukul 11.30 pagi.

"Penahanan dua lelaki berumur lingkungan 20-an dan 40-an itu berjaya melengkapkan penahanan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.

“Tiga daripada mereka yang ditangkap semalam kini direman selama tiga hari manakala dua lagi akan dipohon reman nanti," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad turut menasihati orang awam yang mengalami insiden sama diminta tampil membuat laporan di balai polis berdekatan.

"Setakat ini tiada laporan polis diterima oleh orang awam mengenai kes ini dan berkemungkinan suspek juga melakukan tindakan sama ke atas orang awam sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka," katanya.

Sabtu lalu, dalam kejadian kira-kira pukul 6.00 petang di hadapan SJKC Chung Hua, lima lelaki bertindak memeriksa kereta MPV kerana mendakwa kononnya anggota polis membawa lebihan kertas undi dan sebaik bonet MPV dibuka hanya peti ubat dan kon keselamatan ditemukan.