Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Muhyiddin serah polis siasat individu periksa kereta peronda

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap sekumpulan individu yang dikatakan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Ini selepas tular rakaman video menunjukkan individu terbabit menahan dan  memeriksa kenderaan polis semasa pilihan raya kecil (PRK) Rantau semalam.

Menurut Muhyiddin, tindakan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

"Laporan polis telah dibuat mengenai kejadian ini.

"Justeru, saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang negara.

"Saya ingin mengingatkan penyokong parti politik serta orang ramai agar mematuhi undang-undang pada setiap masa dan tidak mengambil sebarang tindakan yang melanggar undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu polis menahan dua lelaki berhubung kejadian di Rantau semalam yang menyaksikan sekumpulan penyokong parti politik menahan dan memeriksa kereta peronda polis.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop berkata suspek yang merupakan penjual kereta terpakai dari Seremban dan pemandu lori dari Rantau ditahan tengah hari tadi.

Semalam, sekumpulan penyokong parti politik menahan kereta peronda polis yang dinaiki dua anggota di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua di Rantau.

Mereka dipercayai bertindak demikian kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian.

Dalam perkembangan sama, Bernama memetik Mohamad sebagai berkata tiga individu lain yang terlibat dalam insiden berkenaan sudah dikenal pasti.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang didapati melanggar tata etika dan disiplin parti.

“PKR memandang serius beberapa dakwaan salah laku atau pelanggaran undang-undang sewaktu PRK Rantau, termasuk dakwaan penggeledahan kereta polis dan pergaduhan di luar Bilik Gerakan Utama PH.

“Perkara-perkara ini akan dibawa ke perhatian Lembaga Disiplin parti untuk siasatan segera,” katanya dalam kenyataan tersebut.