Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

DAP Kelantan dalam proses bentuk JK negeri

Lebih 3,000 anggota DAP Kelantan dinasihati supaya berhubung terus dengan pemimpin-pemimpin cawangan sekiranya mereka mempunyai apa-apa masalah memandangkan parti itu masih belum mempunyai Jawatankuasa Peringkat Negeri, kata Pengarah Biro Hal Ehwal Pembangunan DAP Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut itu berkata proses pembentukan jawatankuasa DAP peringkat negeri sedang dilaksanakan, dan permohonan pembentukkannya akan dimajukan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), dijangka sebelum bulan Julai ini.

"Selepas diluluskan, kita berharap akan mempunyai jawatankuasa di peringkat negeri yang sah. Sehingga kini kita sudah berjaya menubuhkan 26 cawangan di seluruh Kelantan iaitu pertambahan 22 cawangan selepas Pilihanraya Umum ke 14 (PRU-14), baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin cawangan seluruh Kelantan hari ini.

Beliau berkata perjumpaan hari ini diadakan bagi membincangkan apa bentuk perkhidmatan yang bakal disumbangkan kepada rakyat selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi PRU-14, di mana pemimpin cawangan diharap dapat mengumpul maklumat atau masalah rakyat supaya dan disuarakan terus kepada Kerajaan Pusat.

Dalam perkembangan sama, Lee berkata masalah perlantikan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

"Masalah perlantikan MPKK ini dilihat kurang lancar, mungkin disebabkan ada masalah dengan kerajaan negeri namun kita yakin ia akan dapat diselesaikan," katanya.

- Bernama