Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LTAT dedah dua urus niaga tak patuh piawaian kewangan

Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Nik Amlizan Mohamed mendedahkan terdapat dua urus niaga yang telah dijalankan tidak mematuhi piawaian pelaporan kewangan Jabatan Audit Negara (JAN) oleh pentadbiran lalu.

Beliau berkata ia merujuk kepada laporan kewangan LTAT bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 (TK17) yang telah menyebabkan keuntungan negatif terkumpul RM31.6 juta.

Beliau berkata, berdasarkan pendapat berteguran dari Januari, nota 33 melibatkan keuntungan LTAT bagi TK17 dari hasil penjualan pembangunan harta tanah berjumlah RM202.71 juta, yang tidak boleh diiktiraf dalam penyata kewangan LTAT bagi TK17.

Amlizan berkata, transaksi itu tidak boleh diiktiraf selaras dengan "financial reporting standard 118" berkaitan pendapatan kerana kriteria-kriteria pengiktirafan pendapatan tidak dipenuhi.

"Oleh itu, impak daripada hasil penemuan seperti mana yang telah dinyatakan dalam pendapatan berteguran oleh JAN, telah menyebabkan keuntungan LTAT bagi TK17 menurun daripada RM662.17 juta ke RM370.56 juta.

"Tambahan lagi, keuntungan terkumpul LTAT juga akan menurun secara mendadak yang telah mengakibatkan keuntungan terkumpul negatif sebanyak RM31.6 juta berbanding dengan keuntungan terkumpul positif sebanyak RM259.99 juta sebelum ini," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sidang media itu diadakan bersama Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Sebelum ini Mohamad berkata kerajaan akan mendedahkan laporan penuh kewangan LTAT yang didakwa dimanipulasi kerajaan BN terdahulu pada Jun atau Julai ini.

Beliau berkata laporan itu terpaksa ditangguhkan kerana pihak audit masih menelitinya.

“Kita terpaksa tangguhkan dari Mac kerana audit masih berjalan,” kata Mohamad.

Pada 30 Mac lalu, Mohamad berkata dividen LTAT masih belum dibuat kerana terdapat masalah pentadbiran berpunca daripada kerajaan BN sebelum ini.

Sementara itu Nik Amlizan berkata, kerugian itu berlaku membabitkan urusan penjualan pembangunan harta tanah dan kemerosotan bagi dua Sekuriti Sedia Untuk Dijual.

"Kelewatan bagi akuan TK18 (tahun kewangan 2018) adalah disebabkan oleh penyerahan lewat bagi akaun TK17.

"LTAT juga berpendapatan bahawa dengan akaun beraudit muktamad bagi TK17 khasnya kerana status negatif untuk keuntungan terkumpul, ini akan memberi kesan yang besar kepada akaun TK18.

"Kami kini sedang memuktamadkan akaun-akaun bagi TK18 dan kami menjangkakan pengumuman keputusan tersebut bakal dimaklumkan sebelum Julai 2019," katanya.