Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bicara kes Isa Samad pada 7 Oktober

Bekas Pengerusi Felda Isa Samad kekal mengaku tidak bersalah atas kes yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Ghazali hari ini menetapkan kes itu akan dibicarakan pada 7 Oktober hingga 9 Oktober.

Ia akan disambung semula pada 14 Oktober hingga 25 Oktober. Tarikh pengurusan kes pula ditetapkan pada 13 Mei.

Bekas naib presiden Umno itu hari ini diwakili oleh Ridha Abah Subri dan Lavinia Kumaraendran.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.