Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Statut Rom: Mukhriz sedia beri penjelasan pada Sultan Kedah

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir bersedia menjelaskan Statut Rom kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk meleraikan kekeliruan yang timbul daripada statut berkenaan.

Mukhriz berkata demikian ketika ditanya sama ada Sultan Sallehuddin ada memanggil beliau untuk memberikan penjelasan.

Menurut beliau, Sultan Salehuddin juga tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi membincangkan perkara itu.

"Tidak, Duli Yang Mulia Tuanku Sultan Kedah tak hadiri perjumpaan yang dikatakan berlaku baru-baru ni sebab baginda tuanku ada di Kedah ketika itu.

"Sekiranya dipanggil saya sedia untuk beri penjelasan walaupun kerajaan persekutuan dah buat keputusan itu tetapi saya rasa penting untuk kita meleraikan kekusutan atau kekeliruan yang berlaku.

"Pasal orang kata macam mana kerajaan boleh pertimbangkan satu statut yang akan jejaskan kedaulatan negara, tu sesuatu yang tak munasabah," kata Mukhriz kepada pemberita di Rantau malam tadi.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu mengumumkan Malaysia tidak akan menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) disebabkan kekeliruan yang dibuat oleh "orang tertentu yang mahu bebas memukul orang".

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata individu yang disebut Mahathir merujuk kepada seseorang daripada kerabat diraja.

Pengkritik Statut Rom, termasuk Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa perjanjian itu menjejaskan kedaulatan Malaysia dan institusi kerajaan.

Mukhriz menyifatkan beberapa salah faham mengenai Statut Rom oleh empat ahli akademik yang didakwa menulis 'kertas kerja berat sebelah' mengenai statut berkenaan yang telah dibentangkan kepada Raja-raja Melayu.

Beliau berkata kertas kerja itu gagal menjelaskan maksud utama undang-undang tersebut yang bertujuan untuk mencegah jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Terdahulu, semasa ucapannya di ceramah di Kampung Linsum, Mukhriz menerangkan Statut Rom sekiranya berlaku kejadian jenayah oleh individu berkuasa di negara ini.

"Katakan di Malaysia ni ada pemimpin yang punyai kuasa begitu besar dalam negara kita ni, dia atas apa-apa sebab dia nak bunuh orang, bukan seorang dua orang, dia nak bunuh orang secara beramai- ramai, 100,000 orang, 500,000 orang.

"Sepatutnya ada undang-undang dalam negara kita ni untuk siasat, mendakwa dan hadapkan dia ke mahkamah. 

"Sebab mungkin dia pemimpin kita ke, mungkin kita takut dia ke, takut dia bunuh kita pula. Jadi kita tak berani nak buat (dakwa). Jadi kita biarkan dalam keadaan begitu.

"Hanya bila kita sendiri tak boleh hadapkan dia ke mahkamah, barulah ada undang-undang dunia yang boleh datang ke sini mewakili mangsa-mangsa pembunuhan itu, untuk siasat , dakwa dan bicara orang tu, penjenayah itu di peringkat antarabangsa," katanya.