Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemuda Umno desak tubuh RCI siasat salah laku Tabung Haji

Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan salah laku dalam pengurusan Tabung Haji (TH).

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata penubuhan RCI itu amat penting supaya dapat menjernihkan kekusutan masyarakat yang boleh menjejaskan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap TH.

“Dakwaan pemberian hibah oleh pengurusan terdahulu yang tidak mematuhi Akta Tabung Haji 1995 selama empat tahun terdahulu adalah suatu yang amat serius dan boleh menjejaskan keyakinan dan kepercayaan umat Islam terhadap institusi ini.

“Dakwaan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menuduh wujudnya kerugian besar berjumlah RM10 billion yang disembunyikan juga amat serius kerana setiap tahun TH diaudit dan diabsahkan penyediaan laporan kewangannya oleh Jabatan Audit Negara sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Justeru itu, katanya, sekiranya benar wujudnya penyelewengan dan manipulasi akaun, maka Jabatan Audit Negara juga perlu disiasat.

Malah apa juga laporan yang disahkan oleh jabatan itu perlu ditarik balik daripada parlimen, gesanya lagi.

Perbezaan kaedah nilai aset

Menurut Asyraf lagi, pertikaian dalam kaedah penilaian aset antara pengurusan TH yang lama dan baru juga perlu disiasat memandangkan ia memberi kesanterhadap keseimbangan aset dan liabiliti TH.

“Perbezaaan ketara dalam kaedah menilai aset inilah yang membolehkan hibah dibayar selama ini oleh pengurusan lama, (tetapi) dianggap bertentangan dengan Akta Tabung Haji oleh pengurusan baru,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga mendesak dilakukan siasatan terhadap kaedah penyediaan akaun dan laporan kewangan termasuk cara penilaian aset sama ada mematuhi Akta Badan Berkanun (Akta dan Laporan Tahunan) 1980 atau tidak, memandangkan TH sebagai badan berkanun turut dikawal selia oleh undang-undang berkenaan.

“Akta ini juga mewajibkan badan-badan Berkanun termasuk TH untuk mengemukakan sebarang cadangan penyediaan akaun termasuk kaedah penilaian aset kepada Ketua Audit Negara.

"Justeru segala dakwaan mengenai kesalahan kaedah penilaian aset, sebagai contoh tidak mengambil kira susut nilai (impairment) juga boleh dikaitkan dengan kredibiliti Jabatan Audit Negara,” kata Asyraf.

Tambahnya lagi, dakwaan kerugian pelaburan TH yang dikaitkan dengan penyelewengan dan salah laku seperti yang didakwa berlaku dalam TH Heavy Engineering, Putrajaya Perdana, FGV dan PT TH Indo Plantation di Riau juga perlu disiasat secara terperinci supaya rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai perkara tersebut.

“[...] (Dakwaan tersebut) memerlukan siasatan terperinci agar rakyat mendapat gambaran sebenar sama ada ia merupakan kesalahan jenayah atau kelemahan tadbir urus organisasi atau kerugian biasa pelaburan,” katanya.

Pada 3 April, kira-kira 40 wakil rakyat PH dikatakan diberi taklimat berhubung TH mengalami kerugian tambahan sebanyak RM10 bilion pada tahun kewangan 2017 namun tidak dinyatakan dalam laporan badan itu.

Menurut beberapa wakil rakyat PH yang hadir taklimat tersebut, antara perkara lain yang didedahkan ialah defisit berpunca daripada pemilikan saham Felda Global Venture (FGV) yang dibeli TH pada harga tinggi serta urus niaga dan pelaburan TH yang hampir semuanya gagal.

Pada tahun lalu, audit terhadap TH oleh firma PriceWaterhouseCoopers (bagi tahun kewangan 2017) mendapati TH membuat bayaran hibah bukan daripada keuntungan yang diperolehinya, sebaliknya daripada deposit ahlinya, selain terdapat beberapa transaksi yang dipersoalkan.

Selain itu, turut didedahkan TH sebenarnya menanggung kerugian sebanyak RM10.2 bilion dalam pelaburan saham dan tanggungannya telah melebihi aset sebanyak RM9 bilion.

Jumaat lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mengumumkan kadar hibah TH bagi 2018 yang terendah dalam sejarah sebanyak 1.25 peratus membabitkan agihan sebanyak RM913 juta.