Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Statut Rom: Tak wajar tarik diri walau ditentang pihak tertentu - MP

Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata kerajaan tidak seharusnya menarik diri daripada menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah pun dimeterai.

Beliau berkata tidakan itu menjadikan Malaysia sebagai "bahan ketawa dunia antarabangsa" selain menjejaskan kewibawaan kerajaan.

"Apabila kerajaan telah menandatangani (undang-undang antarabangsa) adalah tidak wajar menarik balik hanya kerana penentangan golongan tertentu, hatta dari pihak istana.

"Adalah tugas kerajaan untuk menerangkannya dengan jelas.

"Dulu saya sudah berkata jangan gopoh dan terburu-buru. Parlimen dan Majlis Raja-raja perlu dirundingi. Sekarang nasi sudah jadi bubur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat pengumuman berkenaan perkara itu dalam sidang media pada 5 April lalu.

Mahathir antara lain berkata keputusan itu diambil bukan kerana statut itu menjejaskan negara, tetapi kerana kekeliruan dari segi politik dan di kalangan masyarakat.

Wisma Putra sebelum ini menyatakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad telah dimaklumkan mengenai penyertaan Malaysia pada 15 Februari lalu.

Dalam pada itu, Hassan yang menyifatkan Statut Rome sebagai undang-undang antarabangsa yang baik meminta Menteri Luar Saifuddin Abdullah menjawab beberapa perkara yang timbul susulan penarikan itu.

"Apakah ia keputusan jemaah menteri secara sebulat suara, secara konsensus atau majoriti, atau pun keputusan perdana menteri seorang diri atau keputusan minoriti?"

Bagaimanapun Hassan yang juga pengerusi PKR Johor berkata selaku anggota parlimen beliau tetap menerima keputusan itu walaupun menyokong keputusan kerajaan memeterai Statut Rome sebelum ini.

Antara pihak yang mengkritik penyertaan kerajaan adalah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan puteranya Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bertitah ia melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana memberi kesan terhadap institusi beraja, hak-hak Melayu dan kesucian Islam di Malaysia.

Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyentuh empat jenayah utama antarabangsa - pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.