Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

MB Johor jumpa Mahathir esok, kata sumber

Di tengah-tengah ketegangan politik yang semakin meningkat akibat penarikan Putrajaya daripada menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Menteri Besar Johor Osman Sapian dijangka bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad esok.

Malaysiakini dimaklumkan sumber-sumber, Dr Mahathir telah menjemput Osman ke suatu mesyuarat, yang dijangka berlangsung di pejabatnya di Perdana Putra.

"Menteri besar berkata minggu lalu beliau akan bertemu dengan Mahathir esok," kata seorang sumber.

Hal ini juga disahkan sumber lain yang dekat dengan Putrajaya. 

Walau bagaimanapun, sumber tidak mendedahkan butiran terperinci yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Dipercayai rombakan dalam kerajaan Johor akan dibuat tidak lama lagi tetapi masih tidak pasti jika perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat berkenaan.

Walaupun desas-desus menyebut kedudukan Osman sebagai menteri besar terancam, beberapa sumber lain yang berpengalaman dengan politik Johor berkata mereka tidak mengetahui rombakan yang dikatakan, kecuali khabar angin yang beredar di media sosial.

"Saya tidak mendapat apa-apa maklumat mengenai perkara ini (rombakan). Apa yang saya tahu (setakat ini) hanya melalui orang yang menghantar pesanan ke WhatsApp saya," kata sumber yang enggan dinamakan kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, seorang pemimpin politik tempatan yang juga enggan namanya disiarkan berkata para pemimpin tertentu telah diarahkan untuk tidak membincangkan kemungkinan berlaku rombakan jawatan dalam kerajaan Johor.

Seorang lagi sumber berkata khabar angin tersebur giat beredar dalam lingkungan politik Johor, "malahan setakat ini penduduk setempat juga ikut tertanya-tanya."

[Baca berita penuh]


Laporan oleh HARIZ MOHD, LU WEI HOONG dan ZIKRI KAMARULZAMAN.