PM sendiri mahu sidang akhbar solo, jelas Saifuddin
Tindakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersendirian dalam sidang akhbar ketika mengumumkan penarikan Malaysia daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mencetuskan spekulasi terdapat anggota kabinet tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Luar Saifuddin Abdullah yang menghadiri mesyuarat kabinet sebelum pengumuman itu dibuat, memberi jaminan jemaah menteri menyokong keputusan Mahathir.
Beliau berkata pertemuan dengan media secara solo itu merupakan keputusan dibuat perdana menteri sendiri.
"Perdana menteri memutuskan untuk mengadakan sidang akhbar itu dengan cara itu.
"Macam ni. Kamu bekerja dengan arahan perdana menteri, jadi bila perdana menteri kata dia mahu mengadakan sidang akhbar - dia mahu adakan sidang akhbar.
"Dia tahu yang terbaik bila dia mahu para menteri bersamanya, berapa menteri dan menteri mana yang akan datang ke sidang akhbar itu," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.
Mahathir dalam sidang akhbar Jumaat lalu berkata Malaysia menarik diri daripada Statut Rom meskipun tidak mempunyai masalah dengannya kerana kekeliruan yang dilakukan "orang tertentu yang ingin bebas memukul orang".
"Dan jika dia memukul orang lagi, saya akan hantar polis untuk menangkapnya, saya tidak peduli siapa dia," katanya.
Baca: 'Sebab ada orang nak memukul sesuka hati' - Transkrip penuh Dr M
Mahathir mendakwa terdapat usaha melibatkan Raja-raja Melayu untuk menandatangani perintah agar menentangnya, namun tidak berjaya.
Ditanya sama ada beliau merujuk kepada seorang putera mahkota dari sebuah negeri di selatan tanah air, beliau berkata terserah kepada orang ramai untuk meneka.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mendakwa Statut Rom mengancam kedudukan Yang Di-Pertuan Agong, Melayu dan Islam, bertemu dengan Majlis Raja-raja Selasa lalu untuk memberi taklimat.
Mengimbas kembali perkara-perkara yang membawa kepada keputusan kabinet pada Jumaat, Saifuddin berkata beliau juga mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Majlis Raja-raja pada Selasa selepas menerima persetujuan kabinet.
Beliau menambah individu lain yang bertemu dengan Majlis Raja-raja secara berasingan pada hari itu termasuk Panglima Angkatan Tentera, Zulkifli Zainal Abidin, peguam Negara Tommy Thomas dan profesor undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rahmat Mohamad.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata beliau tidak dapat mendedahkan apa yang berlaku ketika itu.
Saifuddin berkata, pada Jumaat Mahathir sekali lagi bertemu Yang Di-Pertuan Agong sebagaimana amalan sebelum mesyuarat kabinet.
Berikutan pertemuan tersebut, Mahathir membangkitkan isu Statut Rom dalam mesyuarat kabinet.
Saifuddin tidak mendedahkan butiran keputusan itu tetapi berkata hasilnya adalah keputusan sebulat suara untuk menarik diri daripada Statut Rome.
Beliau berkata meskipun ada menteri yang bersuara, akhirnya mereka memahami mengapa harus membuat keputusan sebegitu.
"Saya fikir kami semua tahu apa yang berlaku dan sebab kita buat keputusan itu. Kabinet selalu seperti itu," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai