Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hibah terendah: Mufti minta pendeposit tak merajuk

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad menasihatkan agar pendeposit Tabung Haji (TH) tidak kecewa dengan hibah yang rendah dan terus menyokong institusi itu.

Beliau juga menggesa pendeposit untuk tidak mengambil tindakan drastik susulan pengumuman kerajaan berkenaan perkara itu Jumaat lalu.

"Janganlah merajuk dan teruslah memberi sokongan kepada TH kerana musuh Islam akan menggunakan peluang untuk menjatuhkan institusi kewangan Islam yang kukuh di negara ini.

"Jika TH jatuh, itu bermakna tiada lagi institusi kewangan Islam di negara ini yang boleh dibanggakan.

"Oleh itu TH perlukan sokongan daripada umat Islam sendiri," katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Kerajaan mengumumkan hibah TH untuk 2018 pada kadar 1.25 peratus, melibatkan agihan sebanyak RM913 juta - terendah dalam sejarah.

Mohamad Shukri berkata, orang ramai perlu faham bahawa konsep TH berbeza dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi dividen.

“Sekiranya TH tidak mampu memberi hibah, ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana niat asal pendeposit ialah menyimpan wang untuk menunaikan haji,” katanya lagi.

Sementara itu, Mufti Pahang Abdul Rahman Osman berkata kerajaan tidak sepatutnya meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pengurusan TH terdahulu susulan hibah rendah itu.

Beliau berkata kerajaan perlu menyiasat terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan mereka terlibat dalam salah guna kuasa.

“Kegagalan TH bukan kerana kegagalan pengurusan tetapi adalah susut nilai (kewangan) dan untung rugi dalam perniagaan adalah perkara biasa,” katanya seperti dipetik.

Ketika pengumuman Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata kadar hibah yang rendah akibat masalah yang ditinggalkan pentadbiran lalu.

Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata ketika taklimat bersama anggota parlimen, TH memaklumkan badan itu mengalami kerugian sebanyak RM10 bilion pada 2017 - antaranya ekoran kemerosotan saham Felda Global Venture (FGV) - tetapi tidak direkodkan.

Laporan polis juga telah dibuat terhadap beberapa individu termasuk bekas pengerusinya Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas ketua pegawai eksekutif Ismee Ismail pada Disember lalu.