Statut Rom: Keputusan berat harus dipikul
KATA MP | Sebagai salah seorang anggota pentadbiran kerajaan sekarang, saya akui banyak pihak yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan pendirian kerajaan menarik diri daripada "Rome Statute".
Sepertimana yang dinyatakan oleh YB Menteri JPM (undang-undang ), ia adalah keputusan kabinet.
YAB PM dilapor menyatakan penarikan diri tersebut kerana di sana wujudnya kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak pihak tertentu dan bukan kerana statut itu membahayakan negara.
Memang agak sukar untuk menerima alasan bagaimanakah Statut Rom yang terhad hanya untuk memerangi empat sahaja kesalahan jenayah yang besar, yang serius dan yang bersifat "systemic" iaitu jenayah kemanusiaan (crimes against humanity), jenayah perang (war crimes), jenayah pembunuhan beramai ramai (genocide) dan jenayah pencerobohan (aggression) masih boleh ditentang oleh mana-mana pihak.
Satu perkara yang jelas Statut Rom adalah bermatlamatkan apa yang dikatakan "to end any impunity".
Malangnya, suka atau tidak kekeliruan memang berlaku di negara ini dan ini amat menyedihkan.
Remehkan usaha kerajaan
Kekeliruan ini seolah- olah meremehkan usaha-usaha serius dan berterusan Kerajaan bagi mempamerkan atau mempromosikan konsep keserderhanaan (moderation).
Kekeliruan ini juga seolah olah meletakkan kita semua dalam senario atau persoalan berikut "is our beloved land is being held in ransom by those who are not happy with moderation?".
Sebagai sebuah kerajan yang bertanggungjawab bagi mewujudkan kestabilan dan keamanan yang berterusan dari sebarang unsur yang tidak sepatutnya yang mungkin lahir dari kekeliruan tertentu misalnya, maka kadangkala kerajaan terpaksa harus memilih satu keputusan yang mungkin dilihat tidak begitu popular yang menyebabkan ia dikritik dengan hebat, pedas dan tajam.
Mengambil roh Malaysia Baru, saya percaya kerajaan Insha Allah tidak akan sama sekali menyalahkan (blame) para pengkritik atas keputusan terbaru ini.
Bagi saya, mereka mempunyai segala hak untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka dan juga hak untuk mengkritik, sepedas mana pun.
Sebagai sebuah kerajaan, mungkin perkiraan kami agak berbeza sedikit dengan perkiraan pihak-pihak lain khususnya ketika berhadapan dengan situasi di mana kami perlu melaksanakan keputusan yang harus mengimbangi dengan betul (to strike a proper balance) pelbagai kepentingan yang berbeza.
HANIPA MAIDIN ialah anggota parlimen Sepang.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang editorial Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai