Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Statut Rome: PH jangan guris hati Raja Melayu - Perkasa

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan ataupun komen yang boleh mengguris hati rakyat dan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung keputusan menarik diri daripada Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah dimeterai negara.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali, berkata apa yang berlaku telah memburukkan lagi imej kerajaan PH.

"Demi meredakan keresahan dan kemarahan rakyat, kerajaan PH tidak perlu malu untuk memohon maaf bagi mengambil tanggungjawab.

"Janganlah mengeruhkan lagi situasi termasuk mengeluarkan kenyataan dan komen yang boleh mengguris hati rakyat apatah lagi terhadap Majlis Raja Raja Melayu yang dijunjung tinggi.

"Ambillah pendekatan positif dan berlapang dada sambil menjadikan episod ini sebagai pengajaran bernilai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ibrahim lagi kekecohan isu Statut Rom dapat dielakkan jika dibawa ke parlimen terlebih dahulu.

"Bukankah semua urusan dan perkara yang melibatkan negara dan rakyat wajib dibawa ke parlimen terlebih dahulu.

"Sepatutnya kerajaan melalui Wisma Putra membawa usul mengenai cadangan menjadi ahli Statut Rome ke parlimen dengan terbuka dan tanpa berselindung," katanya lagi.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada ICC berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat.

Sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan statut itu membahayakan negara, beliau berkata kerajaan sedar bahawa ia adalah langkah politik untuk mendapatkan sokongan daripada Raja-Raja.

"Memanglah, sesetengah anggota kerabat diraja mungkin terlibat. Tetapi keseluruhan rancangan ini adalah supaya kerabat diraja di Malaysia menentang kerajaan sekarang.

“Itulah motifnya. Tetapi disebabkan kekeliruan ini dan kekeliruan dalam kalangan Raja-Raja, kami membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf statut berkenaan.

"Kami menarik diri bukan sebab Statut Rome membahayakan kami, sebaliknya disebabkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh sesetengah orang, termasuk mereka yang bercita-cita politik. Kami tahu (perkara) ini,” katanya.