Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tabung Haji yakin pendeposit faham, tidak panik

Lembaga Tabung Haji (TH) yakin tiada pengeluaran panik oleh pendeposit agensi itu ekoran pengumuman kadar hibah terendah yang diumumkan hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Zukri Samat, berkata beliau yakin pendeposit faham apa yang dilakukan badan itu.

Malah katanya ketika TH berdepan dengan pelbagai masalah sebelum ini pun pendeposit tetap yakin dan tidak melakukan pengeluaran panik.

“Kami harap ia tidak akan berlaku dan kita akan memantaunya.

"Malah ketika TH mendapat laporan negatif pada Disember tahun lalu, kita tidak melihat berlakunya pengeluaran panik oleh pendeposit," katanya pada majlis taklimat prestasi TH di Putrajaya, petang ini.

Sebelum itu pada sesi taklimat yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof mengumumkan kadar hibah TH bagi tahun 2018 sebanyak 1.25 peratus.

Ia adalah kadar terendah dalam sejarah TH.

Pada tahun lalu, TH mengumumkan hibah 4.5 peratus kepada pendeposit, dan tambahan hibah haji 1.75 peratus pendeposit yang belum menunaikan haji bagi tahun 2017.

Zukri berkata, selain yakin perkara itu tidak berlaku beliau turut menegaskan yang TH mempunyai aliran kewangan yang kukuh.

Ditanya, sama ada perubahan akan dilakukan bagi menghadkan simpanan pada jumlah tertentu, beliau berkata perkara itu akan diteliti pihaknya.

Sementara itu katanya, subsidi jemaah haji bagi tahun ini tidak terjejas meskipun kadar hibah yang rendah diumumkan.

"Pertama kali menunaikan ibadah haji akan mendapat subsidi penuh daripada TH.

"Bagi yang sudah pergi haji sekali sudah tidak boleh daftar lagi untuk menunaikan ibadah haji kerana kita ingin memberi keutamaan kepada mereka yang berada dalam senarai menunggu," katanya.