Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Statut Rome: Umno hantar memo, demo belum tahu

Umno Selangor akan menghantar satu memorandum kepada Sultan Selangor dalam masa terdekat sebagai protes terhadap keputusan kerajaan menandatangani triti Statut Rome.

“Kita akan menghantar memorandum kepada ke bawah duli Sultan Selangor, untuk menunjukkan protes kita kepada tindakan ini.

“[...] Secepat mungkin, kalau tuanku Sultan beri tarikh cepat (untuk mengadap), cepatlah kita hantar,” kata Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Perhubungan Umno Selangor di Shah Alam hari ini.

Katanya, perlembagaan dengan jelas memperuntukkan kerajaan untuk mewujudkan mahkamah khas bagi membicarakan kes yang melibatkan raja-raja Melayu di negara ini.

Bagaimanapun, dakwa anggota Parlimen Bera itu, dengan menandatangani Statut Rome, raja-raja Melayu boleh dihadapkan terus ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang menurutnya mencabuli kedaulatan negara.

“Tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom tanpa persetujuan dan perkenan raja-raja Melayu, kita anggap melanggar Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam perkara 38(4) dan perkara 159(5),” katanya lagi.

Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa “sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Disoal apakah Umno akan menganjurkan bantahan jalanan seperti yang pernah dianjurkan ketika menentang cadangan meratifikasi Perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum ( Icerd) dahulu, Ismail menjawab ‘tidak tahu lagi’.

Katanya, Icerd lebih jelas menyentuh hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam sementara Statut Rome pula lebih sulit untuk difahami.

“Dari segi kefahaman Statut Rome pun agak kurang jelas. Jadi nak memahami tu agak kurang, berbanding Icerd dulu.

“Jadi itu menyebabkan ramai yang keliru di peringkat awal. Tapi sekarang, setelah dijelaskan oleh peguam-peguam tertentu dalam Umno, akhirnya kita semakin jelas apa kesan menandatangani Statut Rome ni,” tambah Ismail.

Semalam di Parlimen, Ismail yang juga merupakan Ketua Pembangkang memaklumkan pihak pembangkang telah menghantar usul supaya kerajaan menarik diri daripada menjadi ahli Statut Rome.

Katanya, langkah itu diambil memandangkan triti antarabangsa itu dakwanya akan memberi kesan kepada kekebalan Yang di-Pertuan Agong.

Ismail turut berharap agar perkara berhubung Statut Rome akan didebatkan oleh wakil rakyat di Parlimen.

Statut Rome adalah satu triti rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf ICC sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.

Wisma Putra dalam kenyataan 4 Mac berkata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC itu dan surat berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama (4 Mac).

Sehingga 4 Mac, sebanyak 124 negara telah menjadi negara pihak kepada Statut Rome.

Statut Rome, ICC: Perkara yang patut diketahui