Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘Kumpulan bermotosikal di sekitar pusat tahfiz sebelum kebakaran’

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes dua remaja yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dua tahun lalu bahawa terdapat sekumpulan individu bermotosikal berada di sekitar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, sebelum kebakaran berlaku.

Penolong Penguasa Polis Bahagian Siasatan Jenayah Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur , ASP Tay Chew Thwa @ Rico Tay berkata imej sekumpulan individu itu dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat pada bangunan pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang terletak bersebelahan pusat tahfiz itu.

“Saya telah berjumpa dengan Encik Zharif Johor, Pengurus PPIM Cawangan Datuk Keramat iaitu bangunan bersebelahan tempat kejadian untuk membuat penelitian rakaman CCTV dan dengan dibantu Zharif, saya telah membuat penelitian rakaman CCTV bertarikh 14 Sept 2017 di antara pukul 3.00 pagi sehingga 7.00 pagi.

“Penelitian lanjut rakaman CCTV pada kamera-kamera di pejabat itu berjaya mengesan beberapa imej kehadiran kumpulan bermotosikal di sekitar tempat kejadian dan imej seseorang telah merangkak masuk ke bangunan PPIM sebelum kebakaran berlaku,” katanya ketika pemeriksaan utama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah, pada perbicaraan kes itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Saksi pendakwaan ke-61 itu berkata selain rakaman CCTV di pejabat PPIM, beliau juga meneliti rakaman CCTV di tiga lagi lokasi lain iaitu stesen minyak Petron Datuk Keramat, KL Snooker Datuk Keramat dan sebuah rumah di Jalan Datuk Keramat.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Kedua-dua tertuduh yang kini berumur 18 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pada prosiding hari ini kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 28 April.

- Bernama