Sehari dilantik, Husam buat lawatan mengejut
Sehari selepas dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Senator Husam Musa terus bertindak drastik bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja di agensi itu.
Malah, beliau mengambil kesempatan dengan mengadakan lawatan mengejut ke beberapa bahagian pengurusan Kada, semalam.
Dalam catatan ringkas di Facebook semalam, beliau dilaporkan membuat lawatan ke Pusat Kejenteraan Ladang dan Pusat Latihan Kada yang terletak di Melor, Kota Bharu.
Difahamkan, sesi lawatan itu dibuat secara spontan sekali gus sedikit-sebanyak mengejutkan kakitangan pengurusan agensi berkenaan.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Husam berkata, selepas dilantik beliau mengambil kesempatan untuk membiasakan diri dan memahami dengan lebih dekat bidang kerja dan operasi Kada.
"Ya saya membuat lawatan ini sebagai sesi suaikenal bagi memahami operasi Kada. Saya sempat melawat ke bengkel jentera pertanian, Kada Resort, Pejabat Kada Kota Bharu Selatan dan Rumah Pam Kemubu.
"Saya dapati terdapat kuanters dan bangunan Kada Resort yang terbiar kerana tiada kakitangan yang tinggal di situ dan operasi Kada Resort sudah diberhentikan.
"Namun tumpuan lawatan saya adalah untuk mengetahui operasi Kada secara lebih dekat," katanya.
Husam yang juga pengerusi PH Kelantan dilantik ke jawatan itu oleh menteri pertanian dan industri asas tani dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai pengoperasian Rumah Pam Kemubu yang terpaksa ditutup sejak dua minggu lalu katanya, ia kini kembali dibuka untuk membekalkan air ke kawasan pertanian Kada.
"Dua minggu Rumah Pam Kemubu terpaksa ditutup kerana air berada di bawah paras 2.9 meter. Kelmarin paras air meningkat pada paras 3.5 meter dan semalam rumah pam ini kembali dibuka apabila paras air meningkat kepada 4.9 meter.
"Sistem saliran air dan industri padi akan ditambah baik dan hasrat kementerian didukung sepenuhnya oleh Kada untuk merealisasikan dasar our food our future dalam usaha memperkasakan program Food Security negara.
"Justeru, pengemblengan tenaga, idea dan kepakaran daripada semua pihak diperlukan bagi menjayakan usaha ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai