Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anwar: Ada baiknya kes Najib disiar secara langsung

Presiden PKR Anwar Ibrahim berpendapat penyiaran secara langsung kes perbicaraan mahkamah bekas perdana menteri Najib Razak memberi kebaikan.

Dipetik Sinar Harian, Anwar berkata, dengan siaran langsung itu rakyat dapat mengetahui jumlah wang negara yang telah "dirompak".

Bagaimanapun, ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau menyerahkan keputusan itu kepada mahkamah.

"Perkara ini saya serah kepada mahkamah sama ada disiarkan secara langsung ataupun tidak.

"Selama ini tidak pernah berlaku.

"Ada baik supaya rakyat tahu berapa banyak wang di negara ini dirompak," katanya lapor Sinar Harian.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau bimbang perbicaraan kes Najib yang dijadual bermula 3 April ini bertukar menjadi "persembahan sarkas" sekiranya disiarkan secara langsung.

Sebelum ini, warganet melakukan petisyen yang bermula di change.org agar perbicaraan itu disiar secara langsung.

Cadangan itu turut disokong oleh Najib yang merasakan ia akan membantu perbicaraannya berjalan dengan telus dan mematuhi kedaulatan undang-undang. 

Najib kini berdepan 42 tuduhan jenayah. Daripada jumlah itu, 10 tuduhan berhubung SRC International, bekas syarikat subsidiari 1MDB.

Tuduhan itu termasuklah tiga dakwaan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta, pecah amanah, dan penyalahgunaan kuasa.

Pada 8 Feb lalu, pihak pendakwaan menambah tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram terhadap Najib melibatkan dana RM47 juta yang didakwa diterimanya pada 8 Julai 2014.

Perbicaraan Najib pada mulanya dijadualkan diadakan pada 12 Feb, namun ditangguhkan sementara menunggu beberapa rayuan yang difailkan peguam bekas presiden Umno itu.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menetapkan agar prosiding diteruskan, yang membuatkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 April tarikh perbicaraan seterusnya.

Najib juga akan berdepan dakwaan berhubung 1MDB pertengahan bulan depan.