Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Husam: Keanggotaan Mohd Nor gugur automatik

PRK RANTAU | Keanggotaan Mohd Nor Yassin, 67, dalam Amanah gugur secara automatik susulan tindakannya bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Naib Presiden Amanah Husam Musa berkata tindakan Mohd Nor adalah bersifat peribadi dan tidak membabitkan keputusan parti itu.

"Dia dah masuk (bertanding sebagai) calon bebas, dia dah tak jadi ahlilah.

"Mana-mana anggota parti politik yang ambil tindakan sendiri, keahliannya gugur (secara automatik dan) tidak boleh dikaitkan dengan Amanah," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Gegar 2019 di Bandar Baharu Tunjong di Kelantan hari ini.

Husam berkata demikian sebagai mengulas tindakan calon bebas itu yang bertanding dalam PRK DUN Rantau, yang didakwa telah menyertai Amanah pada 10 Mac lepas.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum itu turut menafikan Mohd Nor adalah calon PAS.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S Streram yang mewakili PH, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas, R Malar serta Mohd Nor.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan bekas Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 April sebagai hari mengundi, manakala 9 April sebagai hari mengundi awal.

DUN Rantau mempunyai 20,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir luar negara.

- Bernama