Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anwar beri jaminan PH takkan guna jentera k'jaan

PRK RANTAU | Presiden PKR, Anwar Ibrahim memberi jaminan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menggunakan jentera kerajaan dalam pilihan raya kecil DUN Rantau.

"Bagi kita, kita tidak akan gunakan jentera kerajaan untuk raih undi," kata Anwar pada sidang akhbar selepas selesai proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan Bersih bahawa Anggota Parlimen Miri, Michael Teo telah melakukan kesalahan pilihan raya apabila mengagihkan kupon makanan kepada murid-murid sekolah di Rantau pada Khamis lalu.

Anwar berkata pihaknya akan mengambil kira pandangan Bersih dan menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau turut mempersoalkan mengapa Umno yang didakwa mengagihkan wang kepada pengundi semasa lawatan dari rumah ke rumah tidak dibangkitkan sebagai suatu kesalahan.

SPR hari ini menyifatkan tindakan Teo itu sebagai rasuah pilihan raya, yang merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya jika dilakukan sebelum, semasa, atau selepas pilihan raya.

Bagaimanapun SPR berkata tindakan Teo itu agak kabur dari segi undang-undang kerana peraturan tidak menjelaskan takrifan maksud "sebelum" pilihan raya.

Sementara itu, Anwar berkata kempen PH akan memberi tumpuan kepada apa yang boleh dilakukan oleh gabungan itu kepada pengundi di Rantau, serta kegagalan BN membangunkan kawasan itu.

Pilihan raya kecil Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, Dr S Streram, calon BN yang juga pemangku presiden Umno Mohamad Hasan serta calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yasin.