Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pakar: Ini kali pertama saya lihat kecederaan seperti ini

INKUES | "Ini kali pertama saya melihat kecederaan yang unik iaitu tulang rusuk kiri belakang satu hingga tujuh patah secara menegak dan lurus," kata seorang pakar forensik pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner hari ini.

Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Shah Mahmood, 59, berkata kecederaan unik itu dikesan oleh pihaknya buat kali pertama semasa proses bedah siasat yang dilakukan ke atas jasad anggota bomba itu pada 18 Dis lepas.

Beliau yang berkhidmat selama 13 tahun di hospital itu berkata mengikut corak kecederaan pada tujuh tulang rusuk kiri mangsa patah yang dalam susunan garis lurus yang menegak, kecederaan itu disebabkan oleh objek tumpul dan nipis.

"Apabila bedah siasat dijalankan, kami menemui buat kali pertama kecederaan yang tidak dimaklumkan kepada kami iaitu (Adib) patah tulang rusuk kiri satu hingga tujuh dan cederanya unik," kata saksi ke-27 itu ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Hamdan Hamzah.

Doktor itu berkata pihaknya tertanya-tanya mengenai kecederaan unik yang dialami anggota bomba itu di mana tiada langsung maklumat diberikan terlebih dahulu mengenai kecederaan tersebut.

Dr Mohd Shah yang mengendalikan lebih 1,000 kes bedah siasat sepanjang 13 tahun perkhidmatannya di HKL berkata kecederaan unik itu tidak dilihat ketika pemeriksaan klinikal terhadap mangsa semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN), pada 30 Nov lepas.

Beliau juga berkata, pihaknya dipanggil bagi membantu polis melakukan rekonstruksi (lakonan semula) insiden berkenaan di tempat kejadian, pada 22 Dis tahun lalu dan pihaknya meneliti enam kemungkinan yang mungkin menyebabkan kepatahan tujuh tulang rusuk kiri pada anggota bomba berkenan.

Katanya dua kemungkinan adalah mangsa terkena bucu kiri dan kanan bahagian belakang Fire Rescue Tender (FRT) dan empat lagi adalah terkena dua tangga di belakang jentera berkenaan.

Beliau berkata pihaknya kemudian mendapati pintu depan kiri van bomba yang dinaiki Muhammad Adib ada terdapat bucu bahagian pintu yang nipis dan menegak dengan anggaran dua milimeter (mm).

"Hanya pada ketika itu, kami berpandangan bahawa objek yang tumpul dan nipis, sangat bersesuaian dengan kecederaan unik tulang rusuk kiri patah secara menegak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata selepas melihat corak kecederaan dialami mangsa, tidak mungkin mangsa tersepit sebab ia akan menyebabkan kecederaan lebih parah.

Beliau juga berkata tiada apa-apa kecederaan yang menunjukkan kecederaan bercorak tangkisan atau akibat mempertahankan diri dilihat pada kedua-dua tangan dan kaki mangsa.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN pada 17 Dis lepas.

Prosiding di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner bersambung.

-Bernama