Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis tingkat pemantauan tahfiz elak kejadian dera

Polis meningkatkan pemantauan di semua pusat pengajian agama termasuk pusat tahfiz bagi mengelakkan kejadian dera daripada berlaku.

Ketua Polis Pahang Mohd Zakaria Ahmad berkata, pemantauan itu juga melibatkan pusat tahfiz yang tidak berdaftar kerana kebajikan kanak-kanak di situ tetap perlu dilindungi.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

"Kita sudah menugaskan anggota untuk melakukan lawatan dan pantauan di pusat pengajian agama bagi memastikan tiada sebarang masalah berlaku.

"Ibu bapa dan pelajar juga diminta boleh melaporkan secara terus kepada pihak polis sekiranya terdapat salah laku seperti kes dera dan lain-lain. Tidak perlu takut kerana kita akan menyiasat setiap aduan," katanya.

Mohd Zakaria berkata demikian semasa ditemui selepas majlis Pelepasan Kembara Komuniti Ketua Polis Pahang sempena Hari Polis ke-212 di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar, di Kuantan hari ini.

Beliau juga memaklumkan pihaknya masih berusaha mengesan seorang suspek berusia 46 tahun yang digelar sebagai Ustaz Zainal Abidin bagi membantu siasatan kes dera dua pelajar pusat tahfiz tidak berdaftar di Jaya Gading, Kuantan pada 15 Mac lepas.

Mengenai kembara berkenaan, beliau berkata program bermotosikal yang disertai 150 pegawai dan anggota itu melibatkan perjalanan dari Bera ke Rompin, bertujuan mengeratkan hubungan polis dengan masyarakat.

Turut menyertai kembara selama tiga hari bermula hari ini ialah Timbalan Ketua Polis Pahang Mohd Yusri Hassan Basri.

-Bernama