Kubur Wang Kelian: Suhakam persoal polis 'tangguh gali 4 bulan'
Polis telah menghantar pasukan forensiknya untuk menggali semula mayat di kubur di tapak perkhemahan pemerdagangan manusia di Wang Kelian pada Mei 2015, empat bulan selepas perkuburan beramai-ramai itu ditemui.
Ini merupakan antara penemuan laporan setebal 121 halaman yang disediakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan NGO Fortify Rights berjudul "Dijual seperti Ikan", yang dilancarkan di Kuala Lumpur petang tadi.
Suhakam, dalam satu kenyataan pula berkata kelewatan tersebut boleh memberi kesan terhadap bukti yang dapat membantu siasatan polis.
“ Kelewatan menggali selama empat bulan melambatkan proses bedah siasat mengecewakan pakat forensik untuk mengenal pasti punca kematian,” kata suruhanjaya itu.
Laporan itu juga menggesa pihak berkuasa Malaysia supaya memastikan pihak yang bertanggungjawab supaya dijadapkan ke pengadilan selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
"Kalau mampu, Suhakam dan Fortify Rights juga mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengenalpasti individu-individu yang melakukan jenayah dan membawa mereka menghadapi tuduhan jenayah di Malaysia,” katanya lagi.
Pembunuhan beramai-ramai
RCI terhadap Wang Kelian diketuai bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria, yang dijangka mendedahkan dapatannya pada Jun ini.
Pembunuhan beramai-ramai itu mendapat sorotan utama media pada tahun 2015 apabila polis menemukan 139 kubur, 106 mayat, dipercayai orang Rohingya, dan 29 kem tahanan pendatang haram di dalam hutan di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.
Pihak berkuasa Malaysia hanya mendakwa empat orang asing yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia, manakala pihak berkuasa Thailand mendakwa 62 orang, termasuk sembilan penjawat awam.
"Pihak penguatkuasa Malaysia musnahkan kem pemerdagangan manusia selepas ia ditemui mengakibatkan kekurangan bukti membantu siasatan polis.
“Pihak penguatkuasa Malaysia juga mengarahkan pasukan forensik menggali kubur pemerdagangan manusia ini pada Mei 2015 hanya selepas empat bulan ia ditemui tanpa memberi sebab bagi kelewatan,” kata Suhakam.
Tambah suruhanjaya itu, pihak penguatkuasa juga tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai penemuan tapak perkuburan massa itu sehingga 25 Mei 2015.
"Kelewatan menggali selama empat bulan melambatkan proses bedah siasat mengecewakan pakat forensik untuk mengenal pasti punca kematian,” kata Suhakam.
Menurut laporan Suhakam setebal 121-halaman itu, kira-kira 170,000 Rohingya dan Bangladesh diseludupkan melalui sempadan Malaysia-Thailand, antara 2012 dan 2015.
Laporan itu berkata dalam tempoh itu, pemerdagang manusia berjaya meraih antara RM175 juta dan RM349 juta daripada aktiviti itu.
Ia juga mengandungi temuduga dengan lebih daripada 270 saksi, termasuk mangsa yang terselamat dari kem, pemerdagang manusia, penjawat awam dan lain-lain.
Hamba, pemuas nafsu
"Pedagang-pedagang haram ini terdiri daripada warga Myanmar, Thailand dan Malaysia mendera mangsa menggunakan paip, kayu besbol, tali pinggang, wayar, paku, diugut dan intimidasi. Setiap mangsa dipaksa bayar USD2,000 untuk dibebaskan.
“Kepada yang tidak mampu bayar tidak diberi makanan,minuman dan tempat berteduh mengakibatkan kematian, sakit dan kecederaan termasuk mangsa yang kurang upaya. Mangsa perempuan termasuk kanak-kanak perempuan juga secara sistematik dijual di Malaysia untuk niat kahwin dan selebihnya dijadikan hamba.
“Mungkin satu banyak, mungkin satu hari kurang. Tapi, setiap hari ada yang mati. Ada juga membunuh diri seperti terjun daripada bot selepas tidak tahan dengan seksaan, “ catat Suhakam.
Suruhanjaya itu juga berharap kerajaan baru akan dapat memberikan keadilan kepada mangsa orang Rohingya dan semua yang "terjejas dengan jenayah ini."
"Mangsa pemerdagangan manusia memberitahu cerita yang sama, pemerdagang manusia menemui mereka di kampung, menjanjikan peluang pekerjaan di Malaysia dan apabila mereka sampai ke atas bot, mangsa diseksa untuk diperas ugut.
“Adakalanya, mangsa dijual sebagai hamba dan juga hamba seks. Manakala, mangsa perempuan pula disimpan di bot mahupun kem pemerdagangan untuk dijadikan (pemuas) nafsu pedagang haram ini.
"Kami harap kerajaan baru Malaysia memperbetulkan yang salah dengan memberi keadilan dan kebertanggungjawaban kepada Rohingya dan semua mangsa yang terjejas dengan jenayah ini," kata laporan Suhakam itu lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai