Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ambiga: Tiada kompromi, Kiandee perlu letak jawatan segera

Bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan tampil sebagai pihak terbaru yang menggesa Ronald Kiandee meletakkan jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC).

Ambiga berkata, peletakan jawatan itu perlu dibuat serta-merta.

"Apapun isu yang sedang disiasat (oleh PAC), boleh diteruskan dengan dia berada dalam jawatankuasa itu, tapi bukan sebagai pengerusi.

"Ini soal semak dan imbang dan tidak boleh ada kompromi," katanya kepada Malaysiakini.

Kiandee dilantik menjadi pengerusi PAC ketika dia masih merupakan ahli parlimen Umno Sabah, selari dengan janji PH untuk memberikan jawatan pengerusi PAC kepada pembangkang.

Bagaimanapun, ahli parlimen Beluran itu sudah menyertai Bersatu.

Semalam, ahli PAC dari kalangan PAS dan BN mengumumkan meletakkan jawatan sehingga kerajaan bersetuju untuk menggantikan Kiandee.

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming pula memberitahu pemberita di parlimen semalam bahawa Kiandee perlu diberi masa untuk menyelesaikan tugas sebelum digantikan.

Ahli parlimen DAP itu yang juga merupakan timbalan speaker Dewan Rakyat percaya kabinet akan menggantikan Kiandee pada masa yang sesuai.

"Perlu ada masa yang tepat kerana PAC sedang tangani banyak kes (ketika ini)," kata Nga.

Perdana menteri pada mulanya mengarahkan agar Kiandee terus memegang jawatan itu meskipun sudah menyertai PH.

Bagaimanapun, Dr Mahathir selepas itu berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk mencari pengganti Kiandee sebagai pengerusi PAC.

[Baca berita asal]