Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dr M: Bukan hasrat Mokhzani kembali bidang permotoran

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan kritikan terhadap sulungnya, Mokhzani yang dilantik sebagai presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

Jelas Dr Mahathir, Mokhzani yang pernah menerajui Litar Antarabangsa Sepang tidak berhasrat untuk kembali dalam bidang permotoran seperti didakwa pihak tertentu.

"Anak saya tak nak kembali (ke bidang permotoran). Dia perlu keluar banyak duit (ketika) dalam bidang itu. Dia kini sedang menyimpan duit, dan saya boleh minta duit daripada dia.

"Orang selalu tuduh kami macam-macam kerana politik, bukan kerana hal-hal praktikal," katanya.

Kerajaan sebelum ini dikritik susulan penggantungan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) sebagai badan penyelia sukan permotoran, dengan MAM dijangka menggantikan tugas berkenaan.

Persoalan ditimbulkan terhadap kerajaan PH sama ada terdapat usaha "melobi" badan permotoran antarabangsa untuk pengiktirafan MAM.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengirim surat kepada International Motorcycling Federation yang berpusat di Switzerland untuk merestui MAM sebagai badan sukan permotoran negara.

Menurut Pejabat Suruhanjaya Sukan, keputusan untuk membatalkan status AAM sebagai badan penyelia sukan permotoran pada penghujung 2018 dibuat selepas AAM "melanggar peraturan" dengan tidak menghantar laporan hujung tahun dan tidak meminda perlembagaannya.

Bagaimanapun, Pejabat Suruhanjaya Sukan hanya mengesahkan keputusan itu kepada media awal bulan ini.

Khamis lalu, Mokhzani didedahkan sebagai presiden baru MAM.

[Berita lanjut menyusul]