Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bersih 2.0 sambut baik JPN ketat syarat tukar alamat IC

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengalu-alukan keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memperketat syarat penukaran alamat pada kad pengenalan dengan meminta bukti permastautinan yang kukuh.

Langkah itu, menurut Bersih 2.0, dapat mengelak daripada berlakunya perpindahan alamat pengundi menjelang pilihan raya seperti yang dikesan berlaku semasa PRU14.

Masalah itu dan pendaftaran pengundi baru dalam tempoh yang singkat, kata Bersih, terjadi kerana JPN membenarkan orang ramai untuk menukar alamat tanpa perlu mengemukakan bukti permastautinan.

“Malah hal ini turut membangkitkan rasa syak kerjasama dalaman antara JPN dan staf Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan pekerja parti.

“Dengan syarat baru kepada mereka yang ingin menukar alamat untuk perlu memberikan bukti alamat baru mereka, ini akan dapat menutup ruang penipuan dan pemalsuan pengundi,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

Pendaftaran automatik

Mengulas lanjut tentang masalah tersebut, Bersih 2.0 menjelaskan, terdapat sebahagian pengundi yang menukar alamat kad pengenalan dikesan kawasan tempat mereka mengundi juga berubah ke kerusi yang ditandingi parti politik yang disokong mereka.

"Ribuan pengundi yang dipindahkan ini telah dilaporkan wujud di seluruh negara dengan kebanyakan mereka berkongsi alamat yang sama. 

"Di (kerusi parlimen) P116 Wangsa Maju, di mana 5000 hingga 10, 000 pengundi dipindahkan ke kawasan tersebut sebelum PRU14, dengan kebanyakan yang dipindahkan adalah dari kawasan berjiran iaitu P115 Batu," katanya.

Selain itu, kata Bersih 2.0 langkah tersebut juga dilihat dapat membuka jalan kepada pendaftaran pengundi secara automatik.

Semalam, JPN mengumumkan syarat lebih ketat untuk menukar alamat kad pengenalan dengan pemohon perlu mengemukakan syarat permastautinan seperti bil utilit, resit atau perjanjian sewa rumah, berkuat kuasa 2 Mei 2019.

Dalam kenyataan sama, Bersih 2.0 turut mencadangkan agar JPN mempertimbangkan penghasilan Pangkalan Data Alamat Kebangsaan yang mempunyai kod geografi seperti yang dicadangkan dalam Laporan Meja Bulat Reformasi Pilihan Raya.

Dengan pangkalan data itu, setiap alamat di negara ini akan memiliki sistem unik yang dapat mengenal pasti lokasi dengan tepat bersama pengkelasan hartanah.

“Ini bukan saja dapat menyingkirkan segala kesamaran dalam rang daftar pemilih namun dapat juga mengenal pasti pendaftaran yang meragukan sama ada terlalu ramai pengundi pada alamat yang sama atau pengundi yang bukan mendiami di alamat tersebut.

“Pendaftaran nasional ini akan memberi manfaat kepada pelbagai lagi fungsi tadbir urus kerajaan dan akan meningkatkan ketelusan,” kata kenyataan itu lagi.