Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lokman pertahan tindakan koyak karikatur sindir Najib

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mempertahankan tindakannya dalam kekecohan yang berlaku berhampiran Universiti Malaya hari ini.

"Saya nak bagi ingatan, lain kali kalau mereka buat lagi macam ini, kita akan buat (koyak plakad).

"Dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, benda sama berlaku. Mereka keluarkan gambar Datin Seri Rosmah Mansor, kemudian apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumpa (kain rentang itu), SPR runding untuk mereka turunkan.

"Apabila kesalahan sudah berlaku, kita tak boleh runding, kita turunkan terus. Jadi apa yang saya buat tadi, apabila dia (pelajar UM) datang, dia keluarkan gambar Najib yang menghina, saya koyakkan. Sebab kita tak boleh jangka (harapkan) penguatkuasa turunkan," katanya.

Lokman berkata demikian ketika ditemui selepas program sembang santai bersama bekas perdana menteri Najib Razak di Restoran Amjal di hadapan Universiti Malaya.

Terdahulu, ketika Najib sedang berucap dalam program itu, sekumpulan pelajar berhimpun di seberang jalan sambil memegang karikatur bekas perdana menteri, selain plakad memaparkan perkataan 'Najib Tak Malu' dan 'Pulangkan Duit Rakyat'.

Susulan itu, penyokong Najib menghampiri kumpulan pelajar berkenaan dan cuba merampas plakad, yang seterusnya membawa kepada pergelutan.

Dalam kekecohan yang berlaku, Lokman dilihat mengoyakkan karikatur badut yang dipegang salah seorang pelajar.

Dari klip video kejadian, salah seorang pelajar dilihat dicekik dari belakang.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, beliau tidak akan peduli sekiranya kumpulan pelajar berkenaan memegang gambar pemimpin PH.

"Kalau dia letak gambar (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad saya tak sentuh, kalau dia letak gambar (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng saya tak sentuh.

"Tapi dia letak gambar bos saya, saya ambil lah.

"[....] Mereka ada kebebasan untuk berhimpun, tapi bukan menggunakan gambar Najib," katanya.

Malaysiakini difahamkan pelajar yang dicekik merupakan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke.

Polis dilihat membawa kumpulan pelajar meninggalkan kawasan itu dengan kenderaan polis.

Malaysiakini berjaya menghubungi Wong dan dimaklumkan bahawa dia dan rakan-rakannya dibawa ke Balai Polis Pantai.

"Kami dibawa ke balai polis kerana polis kata mahu melindungi kami, bukan untuk siasat," katanya.