Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis beri lampu hijau perhimpunan solidariti NZ esok

Polis memberi lampu hijau kepada Himpunan Solidariti Kedamaian yang mendapat sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof, esok.

Himpunan itu diadakan susulan serangan keganasan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, yang mengorbankan 50 nyawa termasuk seorang warga Malaysia.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun menetapkan had masa untuk program itu.

Menurut Bernama, Fuzi berkata himpunan itu hanya boleh diadakan dari pukul 7.30 pagi hingga 11 pagi.

Kebenaran itu menjawab kerisauan memandangkan Mujahid pertama kali mencadangkan himpunan itu pada Isnin lalu, yang bertentangan dengan notis sepuluh hari yang diperlukan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mujahid berkata himpunan itu sebagai tanda solidariti dengan mangsa pembunuhan di New Zealand Jumaat lalu dan menunjukkan Malaysia menolak fahaman kebencian.

Ia bertujuan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia menolak fahaman kebencian serta sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, minggu lalu.

Ia antara lain akan menampilkan ucapan wakil-wakil agama di Malaysia.

Semalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah memberi kebenaran untuk himpunan itu yang dijadual bermula di Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.