Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Juruterbang Berjaya Air: Saya dibenarkan mendarat - Laporan

Juruterbang jet yang terlibat dalam kejadian kemalangan maut di landasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, mendakwa telah dibenarkan membuat pendaratan oleh pengawal trafik udara.

The Star memetik Muhammad Fauwaz Zamzam yang menerajui penerbangan Bombardier Challenger 300 berkata tiada notis dikeluarkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan seperti yang diperlukan.

"Saya tidak melihat apa-apa lampu lain di jalan raya, kecuali lampu panduan lapangan terbang, ketika pesawat menghampiri landasan. 

"Sekiranya terdapat kerja yang sedang dijalankan atau kenderaan di landasan, biasanya ada lampu suar," katanya. 

Juruterbang itu berkata telah menghantar komunikasi radio ke menara kawalan sebanyak dua kali sebelum mendarat.

"Percubaan pertama tidak mendapat maklum balas dan pada panggilan kedua saya, menara memberikan kami kelulusan untuk mendarat," katanya.

Sentakan, langgar sesuatu

"Sejurus selepas pesawat menyentuh landasan, ketika ia meluncur di atasnya, ia melanggar sesuatu. 

"Ada sentakan, lampu terang ketika pesawat melencong sedikit, tetapi saya berjaya mengawal pesawat," katanya dalam wawancara akhbar itu hari ini.

Kru jet kemudian memeriksa instrumen pesawat dan mengesahkan tiada api, katanya.

Dalam kejadian pada Isnin lepas, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, sedang memandu kenderaan kejuruteraan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang ketika terlibat dalam kemalangan di landasan apabila berlanggar dengan pesawat persendirian sekitar 3.20 pagi.

Mohd Ruzaimi meninggal dunia pada malam Selasa lalu. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang cahaya mata berusia antara satu dan 13 tahun.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata siasatan terhadap insiden itu dijangka selesai dalam tempoh 30 hari.