Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Bapa Adib: Saya tak sanggup tanya ketika dia kritikal

INKUES | Bapa kepada anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memberitahu dia tidak sanggup untuk bertanya anaknya - ketika masih dirawat di hospital - berkenaan kecederaannya ketika rusuhan kuil Seafield November lalu.

Ini kerana tahap kecederaan Adib yang parah, kata Mohd Kassim Abdul Hamid di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

"Saya tak tanya sebab anak saya dalam trauma, tak nak susahkan hati dia.

"Saya tak mahu anak kami yang dalam keadaan kritikal berdepan soalan-soalan seperti itu," katanya ketika memberi keterangan dalam inkues menyiasat punca kematian Adib.

Kassim berkata ketika dia pertama kali melihat Adib di Pusat Perubatan Subang Jaya pada malam 27 Nov, anaknya dalam keadaan cedera parah.

"Anak saya tak sedarkan diri, bengkak dan lebam teruk. Dia dalam keadaan trauma dan kritikal, saya tengok seluruh badan anak saya," katanya yang bekerja separuh masa.

Kassim berkata badan Adib penuh bengkak dan luka terutama di bahagian kanan badan, dada, rusuk dan tangan.

"Bila sentuh kepala dia, ada benjol di belakang kepala. Sebelah tangan kanan ada bengkak sebesar jari. Ada luka dan kesan calar di jari."

'Adib nak balik rumah'

Ketika Adib dipindah ke Institut Jantung Negara (IJN), kata Kassim lagi, kesihatannya bertambah baik dalam lima hari pertama.

Kassim berkata Adib berkomunikasi menggunakan papan putih dan bertanya tentang ibu, adik-beradik dan perbelanjaan rumah.

Adib juga menulis di papan putih itu menyatakan dia mahu pulang ke kampung, kata Kassim.

"Tapi saya kata lebih baik tak balik sebab IJN ada doktor terbaik," katanya lagi.

Kassim sekali lagi berkata dia ingin melihat pihak yang bertanggungjawab atas kematian anaknya dibawa ke muka pengadilan.

"Saya difahamkan anak saya mati ketika rusuhan. Saya mahu siapa yang rancang atau terlibat sehingga akibatkan tragedi ini diambil tindakan oleh pihak berkuasa," katanya.

Hari ini merupakan hari ke-15 inkues dan ia akan bersambung esok di depan Koroner Rofiah Mohamad.