Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Lebih 150,000 terjejas bekalan air di Johor dan Kedah

PARLIMEN | Fenomena cuaca kering dan kemarau menjejaskan bekalan air bersih di Kedah dan Johor, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar

Jelas Xavier, daerah Kuala Muda di Kedah, selain Simpang Renggam, Kota Tinggi dan Pontian di Johor merupakan kawasan utama yang terjejas dengan kekurangan bekalan air bersih akibat cuaca panas yang dijangka berterusan sehingga ke penghujung April.

"Sehingga 20 Mac, lebih 30,000 pengguna terjejas bekalan air di Merbok, Tanjung Dawai, Singkir, Semeling dan Bedong dari Kedah.

"Manakala, lebih kurang 120,000 pengguna dari kawasan Kota Tinggi, Pontian dan Simpang Renggam terjejas dengan bekalan air.

"Cuaca kering telah menjejaskan sumber air mentah ke loji rawatan air (LRA) yang membekalkan air ke kawasan terjejas.

"Ini menyebabkan LRA Tupah, Merbok dan Gurun mengeluarkan air terawat pada kadar 50 % sahaja," katanya pada sidang media di lobi parlimen, hari ini.

Tambah Xavier, LRA Lok Heng dan Sungai Gembut di Kota Tinggi dan LRA Simpang Renggam di daerah Kluang turut mengalami situasi yang sama.

Menurutnya lagi, langkah-langkah mitigasi sedang diambil seperti penghantaran air melalui lori, penempatan tangki-tangki statik di kawasan strategik dan bantuan lori air berkapasiti 5,000 gelen dari pihak bomba.

"Pencarian air bawah tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains turut diaktifkan bagi menyelesaikan pengurangan bekalan air," katanya sambil menambah kerajaan turut memperuntukan RM198 juta bagi menaik taraf LRA Tupah dan Bukit Selambau serta RM19 juta bagi penggantian paip di kawasan Tanjung Dawai.

Sementara itu, Xavier turut mengesahkan bahawa fenomena cuaca panas melanda negara akan berterusan sehingga hujung April ini.

"Ini lebih lama daripada jangakaan awal yang diramal akan berpanjangan sehingga pertengahan April sahaja.

"Maka, saya menyeru agar semua pengguna supaya menggunakan air secara berhemah semasa musim panas," katanya.