Bersih sungai: Rangka motor, peti sejuk, tilam ditemui - JPS
Rangka motosikal lama, peti sejuk, kerusi dan tilam antara barangan yang ditemui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semasa melakukan kerja-kerja pembersihan bawah Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) yang bermula sejak 2011.
Disebabkan sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab itu, menyebabkan JPS terpaksa menanggung kos pembersihan sampah RM500,000 sebulan yang dibayar kepada kontraktor untuk projek pembersihan itu.
“Bagi 2018, sampah yang dikutip mencecah 127 tan metrik dan ini adalah senario yang sangat membimbangkan kerana jabatan terpaksa menanggung kos yang sangat tinggi bagi kerja-kerja pembersihan di lapan sungai.
“Ini amat menjejaskan kami kerana kos itu boleh dikurangkan jika masyarakat boleh mengubah tabiat buruk mereka dengan tidak lagi membuang sampah ke dalam sungai dan uruskan sampah mereka dengan sebaik-baiknya,” kata Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai JPS Md Khairi Selamat.
Projek itu membabitkan pembersihan di Sungai Klang, Sungai Gombak, Sungai Ampang, Sungai Batu, Sungai Bunus, Sungai Jinjang, Sungai Keroh dan Sungai Kerayong.
Sementara itu kerja-kerja pembersihan lembangan Sungai Klang sepanjang 110 kilometer untuk projek RoL itu telah mencapai 86 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2020.
Md Khairi berkata projek bernilai RM3.36 bilion itu melibatkan peruntukan 70 peratus untuk menaik taraf sistem kumbahan dan 30 peratus bagi kawalan sungai dan pembersihan.
“Aktiviti pembersihan itu antaranya pemasangan 309 perangkap gris, 588 perangkap sampah, 10 loji rawatan air dan 15 loji rawatan air sungai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau menambah jabatannya menyasarkan projek RoL itu mencapai Kelas II menepati skala Indeks Kualiti Air (boleh menyentuh air dan boleh diminum selepas melalui proses rawatan konvensional yang minimum).
Projek RoL adalah projek awal bawah Greater Kuala Lumpur atau Lembah Klang, ia akan mengangkat Kuala Lumpur sebagai bandar bertaraf dunia bertujuan mengindah dan menghidupkan semula Sungai Klang dan Sungai Gombak.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai