Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Susulan tragedi NZ, Mujahid anjur 'mesyuarat kedamaian'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata satu "mesyuarat kedamaian" akan diadakan bersama wakil-wakil agama dan NGO, susulan tragedi keganasan di New Zealand yang menyebabkan 50 nyawa terkorban.

Beliau berkata mesyuarat itu bagi membincangkan satu perancangan jangka panjang berkenaan usaha memperkukuh toleransi antara agama dan mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.

Ia akan diadakan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan hari ini dan akan dihadiri polis, mufti serta wakil agama antaranya Islam, Kristian, Hindu dan Buddha.

"Tindakan kejam di Christchurst satu pengajaran yang ‘keras’ kepada semua di mana keamanan sentiasa ada kelebihannya.

"Tetapi kita tak boleh (usaha kekalkan keamanan) seorang. Maka kita panggil semua wakil agama, NGO dan polis bagi berkongsi pandangan mereka bagaimana negara (dapat) terus kekal aman dan harmoni," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.

"Kita tak boleh beru ruang kepada kebencian seperti apa yang berlaku di Christchurch, New Zealand. Keamanan adalah penyelesaian terbaik," katanya lagi.

Setakat ini, pihak berkuasa New Zealand mengesahkan 50 maut dalam serangan pengganas di dua masjid di situ, Jumaat lalu.

Sabtu lalu, warga Australia Brenton Harrison Tarrant, disyaki pelampau kulit putih didakwa atas tuduhan bunuh dan dijangka dihadapkan beberapa lagi pertuduhan apabila dibawa semula ke mahkamah 5 April ini.