Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Serangan di NZ: Angka korban meningkat kepada 50

GLOBAL | Mangsa korban serangan keganasan di Christchurch, New Zealand, meningkat kepada 50 apabila polis menemui satu lagi mayat di salah satu masjid yang terlibat pada Ahad, menurut laporan Reuters hari ini.

Pesuruhjaya Polis New Zealand Mike Bush berkata mangsa ke-50 itu ditemui di Masjid Al Noor, di mana lebih 40 terkorban selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan menggunakan senapang semiautomatik.

Menurut laporan itu lagi, mayat mangsa belum diserahkan kepada keluarga kerana siasatan masih berjalan, tetapi polis menyatakan komitmen untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

"Kami perlu jelas sepenuhnya berkenaan punca kematian dan mengesahkan identiti mereka. Tetapi kami juga sedar akan keperluan agama dan budaya, maka kami melakukannya secepat dan sesensitif yang mungkin.

"Setakat malam tadi, kami telah mengeluarkan semua mangsa dari kedua-dua masjid. Dengan berbuat demikian, kita telah mengenalpasti seorang lagi mangsa," katanya seperti dipetik.

Sekurang-kurangnya dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dua masjid berasingan di Christchurch pada Jumaat.

Warga Australia Brenton Harrison Tarrant, disyaki pelampau kulit putih, menyerang Masjid Al Noor yang dipenuhi jemaah. Dia didakwa atas tuduhan bunuh semalam.

Dia ditahan reman sehingga dibawa semula ke Mahkamah Tinggi di South Island pada 5 April, di mana dia dijangka dihadapkan beberapa lagi pertuduhan.

Dia tiada rekod jenayah dan tidak tersenarai dalam pemerhatian di New Zealand dan Australia.

Tragedi Jumaat lalu merupakan pembunuhan besar-besaran terburuk di New Zealand.

Perdana Menteri Jacinda Ardern menyifatkanya sebagai "keganasan" dan kerajaan telah menaikkan tahap ancaman keselamatan ke tahap tertinggi.

Sejumlah 36 mangsa masih dirawat di Hospital Christchurch, dengan sebelas di bawah unit rawatan rapi.

[Baca berita asal]