Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Geramm kesal syarikat penerbitan berita tak bayar gaji

Tindakan sebuah syarikat produksi program berita gagal membayar gaji kepada 15 pekerja mereka amat dikesali, kata kumpulan prokebebasan akhbar, Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Staf syarikat tersebut, menurut Geramm terdiri daripada wartawan, jurukamera serta krew produksi dan dikatakan mula bekerja pada 1 Februari tahun ini.

Namun, difahamkan bahawa syarikat tersebut hanya beroperasi untuk tempoh sebulan sahaja dan sehingga ke hari ini, pihak syarikat didakwa masih gagal membayar gaji mereka.

Geramm berkata dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu adalah tidak wajar untuk pihak produksi mengabaikan tanggungjawab membayar gaji pekerja.

“Geramm difahamkan bahawa laporan polis telah dibuat ke atas pemilik syarikat tersebut dan laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja akan dibuat pada hari Isnin,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Difahamkan semua staf yang terlibat merupakan bekas pekerja sebuah portal berita milik kerajaan dahulu yang ‘gulung tikar’ selepas kekalahan pada PRU14 lalu.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pegangan politik dalam agensi media bukan sahaja memberikan kesan kepada kebebasan editorial, tetapi secara tidak langsung meletakkan pengamal media dalam keadaan yang tidak menentu,” kata kenyataan itu lagi.

Geramm juga berkata cadangan Penubuhan Majlis Media perlu mendapat sokongan semua pihak berwajib agar isu pemilikan politik terhadap agensi media dapat dikaji semula.