Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Tempatkan pekebun kecil Cameron Highlands bawah TKPM

KATA ADUN | Satu operasi penguatkuasaan melibatkan 61 kebun di Sungai Ichat, Cameron Highlands, dilaksanakan oleh kerajaan Pahang bermula 25 Februari lalu. 

Kebun-kebun itu dimusnahkan sebegitu sahaja dan pekebun kecil itu akan kehilangan sumber rezeki kerana penyelesaian tidak diberikan.

Saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk melestarikan daerah Cameron Highlands. Namun begitu, operasi penguatkuasaan yang dijalankan akan melibatkan beratus-ratus keluarga yang menjalankan kegiatan pertanian di Cameron Highlands sejak turun-temurun.

Soalannya, di samping penguatkuasaan, wajar pihak berkuasa negeri menawarkan jalan keluar untuk pekebun-pekebun yang diusir itu. Mereka bukannya penceroboh dari luar tetapi kebanyakannya telah mengusahakan kegiatan pertanian di Cameron Highlands secara kecil-kecilan sejak sekian lama.

Pekebun-pekebun itu memerlukan langkah dan pendekatan kemanusiaan. Apabila saya mencadangkan penyelesaian untuk penempatan semula pekebun itu, ada pihak yang menyatakan bahawa cadangan berkenaan tidak adil kepada pihak yang mematuhi undang-undang. Malah ada kemungkinan besar menggalakkan penerokaan haram pada masa depan.

Oleh yang demikian, saya ingin memanjangkan cadangan kepada semua pihak termasuk pihak berkuasa negeri untuk melestarikan alam sekitar dan juga menjamin kehidupan pekebun-pekebun, iaitu melalui Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Ia merupakan strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi.

Namun begitu, projek TKPM ini boleh dijadikan pusat pemindahan kebun yang diambil tindakan di daerah Cameron Highlands, dengan syarat-syarat tertentu.

Projek TKPM ini dibiayai oleh kerajaan persekutuan di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Negeri bertujuan untuk menyediakan kawasan tanaman makanan.

Di seluruh Malaysia, kita telah membangunkan 76 TKPM dengan Pahang mempunyai 18 tapak untuknya.

TKPM di Lancang, Temerloh merupakan satu projek TKPM terbesar di Malaysia dengan keluasan fizikal 3,600 hektar (10,000 ekar) yang mula dibangunkan sejak 2005.

Oleh itu, ia bukan projek yang baru maka kita tidak perlu bimbang dari segi pelaksanaan dan pengendalian.

Objektif Projek TKPM di Cameron Highlands ialah untuk mewujudkan zon kekal bagi pengeluaran tanaman makanan secara lestari, mesra alam dan berteknologi tinggi dan pada masa sama menjamin pengeluaran makanan negara yang mencukupi, berkualiti dan mapan.

Pekebun-pekebun yang menduduki kawasan yang tidak sesuai untuk pertanian - misalnya kawasan tadahan air, hutan, rizab sungai dan rizab jalan - boleh dipindahkan ke tapak TKPM.

Bagi memastikan kegiatan pertanian yang lestari diusahakan, tapak projek perlu dilengkapkan dengan keperluan infrastruktur asas serta menggunakan teknologi canggih, seperti sistem perparitan dan saliran yang sempurna, jalan ladang, bekalan elektrik dan bekalan air.

Pemantauan yang berterusan dilakukan oleh kerajaan perlu dibuat untuk memastikan kegiatan pertanian yang mesra alam, menghasilkan tanaman yang bermutu tinggi dan menggalakkan pembangunan rantaian bekalan makanan bersepadu dapat dilaksanakan.

TKPM boleh menyediakan jalan keluar untuk pekebun-pekebun yang telah diusir dari tapak yang tidak sesuai untuk pertanian.

Kita tidak perlu khuatir TKPM ini disalahgunakan oleh penceroboh atau peneroka haram kerana pemindahan situt dihadkan kepada mereka yang telah menjalankan pertanian di Cameron Highlands sejak turun-temurun.

Dengan hasil tanaman yang bermutu tinggi, TKPM ini boleh menjadi teladan untuk semua kegiatan pertanian di Cameron Highlands seterusnya memulihkan kegemilangan dan kelestarian daerah itu.


CHIONG YOKE KONG ialah Adun Tanah Rata.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.