Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Khutbah: Cabar kuasa Allah SWT musibah menimpa

Khutbah Jumaat di masjid-masjid di Selangor hari ini menyatakan kebimbangannya terhadap apa yang disifatkannya sebagai bala bencana kepada negara.

Menurut mimbar, antara bala bencana yang menimpa negara itu bermula dengan fenomena cuaca panas yang melampau di beberapa negeri.

"Diikuti dengan hujan ribut dan taufan serta ditambah dengan persekitaran yang tidak sihat dan penyakit-penyakit ganjil antaranya HIV AIDS dan virus lain lagi yang merebak menyerang manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

"Sebenarnya kesemua (bencana) ini adalah kejadian yang menuntut kita agar berfikir dan merenung tentang hakikat kekuasaan Allah SWT dalam mengatur kehidupan di dunia ini,” menurut teks khutbah Jumaat.

Mimbar justeru mengingatkan umat Islam agar menjauhkan diri daripada segala perbuatan yang boleh mengundang bala dan musibah.

"Dalam usaha dan harapan untuk merungkaikan kekusutan dan segala musibah yang menimpa kita, kita hendaklah mencegah perbuatan mungkar dan laknat yang diharamkan oleh Allah SWT sama ada dilakukan secara terang-terangan ataupun sembunyi-sembunyi.

"Contohnya perbuatan menghina agama khususnya menghina nabi, pesta arak, perzinaan, perjudian, pergaulan bebas dan lebih jijik lagi timbulnya golongan yang memperjuangkan perbuatan songsang iaitu LGBT (gejala lesbian, gay, biseksual, transgender),” menurut khutbah itu lagi.

Khutbah itu juga membuat kesimpulan, segala musibah yang ditimpakan oleh Allah kepada manusia sudah pasti mengandungi beberapa hikmah.

Bibit-bibit huru-hara

"Ada musibah yang ditimpakan kerana dosa dan kesalahan sebagai hukuman Allah ke atas hamba yang ingkar kepada perintah-Nya. Ada pula musibah yang ditimpakan sebagai peringatan.

"Mudah-mudahan dengan peringatan itu, manusia akan kembali mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah, mematuhi perintah-Nya, menegakkan agama-Nya dan meletakkan pergantungan dan harapan hanya kepada Allah serta menginsafi betapa besarnya kekuasaan Allah yang Maha Agung," kata mimbar bertajuk Jangan Mengundang Musibah itu.

Sementara itu, khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru umat Islam memelihara kemanan negara dari sebarang anasir yang mampu menggugat kestabilan politik, sosial, ekonomi dan hubungan kaum.

"Di sebalik nikmat kemanan yang kita kecapi hari ini, wujud juga bibit-bibit huru hara yang dicetuskan oleh golongan-golongan tertentu. Lihat sahaja perbezaan aliran pemikiran yang bercanggah dengan ahli sunnah wal jamaah seperti golongan liberal, pluralisme agama, sekular dan sebagainya.

"Demikian juga pejuang hak asasi manusia yang memperjuangkan hak-hak yang tidak sepatutnya sehingga membelakangi syariat Islam.

Gugat akidah, pemikiran

Menyedari hal demikian, mimbar mengingatkan sebagai umat Islam, kita harus turut sama memainkan peranan sebagai ejen menyeru kepada kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran.

"Termasuk dalam kemungkaran itu aktiviti dan tindakan yang menggugat akidah, pemikiran, keamanan dan keharmonian," maklum teks khutbah yang bertajuk Mahalnya Sebuah Keamanan.

Baru-baru ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 bulan terhadap pesalah yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dalam kes yang mendapat perhatian meluas umat Islam itu.

Kemudian timbul kecaman terhadap sambutan perhimpunan Hari Wanita Sedunia pada 9 Mac lalu yang turut dihadiri penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menteri Hal Ehwal Islam Mujahid Yusof Rawa menyifatkan penganjur perhimpunan telah menyalahgunakan ruang demokrasi dengan penyertaan tuntutan LGBT itu.