Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

‘Elaun RM300 kepada nelayan, pesawah jika ekonomi izinkan’

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini memberi jaminan Elaun Sara Hidup (ESH) untuk nelayan dan petani akan dinaikkan ke RM300 tahun depan berbanding RM200 sekarang jika keadaan kewangan negara mengizinkan.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata kabinet telah membincangkan jenis-jenis bantuan tambahan yang bersesuaian untuk disalurkan akibat kejatuhan harga komoditi, keadaan cuaca tidak menentu dan musim kemarau.

"Saya memberi jaminan bahawa pihak kementerian akan usahakan untuk memastikan ESH kekal diberikan dalam jumlah RM300 dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentang pada Oktober nanti," katanya selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan kementerian itu bagi peringkat negeri Pulau Pinang di Batu Maung.

ESH yang sebelum ini berjumlah RM300 dikurangkan kepada RM150 bagaimanapun disemak semula kepada RM200 untuk tahun ini selepas mengambil kira pelbagai aspek, katanya.

Beliau berkata pemberian ESH itu melibatkan hampir 40,000 nelayan dan 320,000 pesawah yang layak di seluruh negara.

Sementara itu, Salahuddin berkata pihaknya memandang serius isu pencerobohan bot pukat haram milik nelayan tempatan atau warga asing yang menangkap ikan di kawasan pantai yang disifatkan semakin membimbangkan.

Katanya pihak berkuasa khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini mempunyai kekangan dari sudut aset untuk memantau dan bertindak terhadap aktiviti pencerobohan itu.

"Sehubungan itu, jawatankuasa kabinet yang ditubuhkan bagi membincangkan perkara ini akan bermesyuarat minggu depan bagi melihat langkah-langkah yang boleh diambil.

"Ini kerana masalah pencerobohan haram ini boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari serta di kebanyakan kawasan pantai sepeti di Perak, Johor, Pantai Timur serta di negeri ini," katanya.

- Bernama