Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Dividen Petronas RM30b diguna bayar balik tunggakan cukai - Timb menteri

PARLIMEN | Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan komitmennya untuk membayar sekitar RM37 bilion bayaran balik (refund) tunggakan cukai bagi tahun ini.

Setakat ini, 54,603 mereka yang mendaftar telah menerima bayaran balik itu, berjumlah RM3.994 bilion, maklum Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah (PH-Kubang Pasu).

Beliau menjawab soalan Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), yang bertanya perkembangan proses bayaran balik tersebut.

Putrajaya menggunakan dividen yang dibayar Petronas sebanyak RM30 bilion untuk mendanai bayaran balik itu.

Noraini meminta penjelasan bagaimana Putrajaya boleh membelanjakan "baki" RM10 bilion kerana bayaran balik cukai GST yang tertunggak berjumlah RM19.47 bilion.

Menjawab soalan ini, Amiruddin berkata bayaran balik berjumlah RM37 bilion dan menjelaskaan dakwaan Noraini terdapat baki sebanyak RM10 bilion itu sebagai tidak benar.

Pada Ogos tahun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan Putrajaya perlu membayar sebanyak RM19.397 bilion dalam bentuk bayaran balik cukai GST pada 2015.

Bagi cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah jumlahnya sebanyak RM16.046 bilion.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sedang menyiasat dakwaan Putrajaya berhadapan masalah membayar bayaran balik cukai. Laporan PAC itu dijangka akan dibentangkan pada April ini.