Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Tawaran Hishammuddin bantu cari Jho Low masih terbuka

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein masih menawarkan bantuan untuk membantu kerajaan memburu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dikehendaki pihak berkuasa dalam siasatan berhubung skandal 1MDB.

Ketika mengulangi tawaran itu, Hishammudddin mengakui bahawa bukan mudah mahu mengesan ahli perniagaan itu.

"Sudah tentu! Saya mahu mendapatkan kebenaran berhubung 1MDB.

"Saya konsisten tentang ini (tawaran bantu cari Jho Low) dan jika Jho Low penting (untuk siasatan), saya akan bantu, tapi ia bukan tugas yang boleh dilakukan seorang diri.

"Tidak semudah itu kerana ia melibatkan pihak ketiga, ia melibatkan kerajaan," kata ahli parlimen Sembrong itu.

Hishammuddin pertama kali memberi tawaran untuk mencari Jho Low Oktober tahun lalu, dengan menegaskan bahawa beliau ingin melihat kesudahan berhubung kes 1MDB.

Ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang petunjuk tentang usahanya, Hishammuddin hanya ketawa dan berkata mendedahkan kebenaran adalah perkara yang paling utama.

"Saya sudah beritahu ketua polis negara, sebarang perkembangan yang saya ada, sama ada China atau negara lain.

"Kenalan saya ramai dan saya akan berurusan dengan ketua polis negara," kata Hishammuddin merujuk Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Sementara itu, Hishammuddin turut berkata bahawa pihak berkuasa bebas untuk menjalankan siasatan termasuk berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan bekas pembantunya.

"Apa yang kita mahu adalah kebenaran. Apa yang kita mahu adalah keadilan dan seperti yang saya katakan, pegawai saya akan disiasat, saya juga akan disiasat, mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dibawa ke muka keadilan.

"Saya sentiasa konsisten dengan pendirian ini," katanya.

Timbalan Menteri Pertahan Liew Chin Tong pada Selasa lalu dilapor media mendakwa bahawa bekas pegawai Hishammuddin terlibat dalam urus niaga tukar tanah yang menyebabkan Kementerian Pertahanan mengalami kerugian RM500 juta.

The Malaysian Insight memetik Liew sebagai berkata bahawa perkara itu ditemui oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang yang mempengerusikan Jawatankuasa Siasatan Khas.

[Baca berita asal]