Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Menteri: Tindakan tegas jika sewa, jual rumah PPR

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberikan amaran dan akan mengambil tindakan tegas dalam menangani penyalahgunaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan penyewaan atau penjualan tidak sah dalam masa terdekat, kata menterinya Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengiklankan penjualan atau penyewaan PPR melalui hebahan umum, termasuk melalui portal sewa/beli hartanah atau melalui media sosial.

Zuraida berkata kementerian telah menerima dan maklum aduan orang awam berkenaan isu penyewa dan pemilik PPR yang menyewakan unit kediaman PPR mereka kepada orang lain.

"Secara jelas syarat penyewaan dalam Kontrak Perjanjian Penyewaan Rumah PPR telah tertera klausa yang menetapkan bahawa, penyewa tidak dibenarkan memberi sewa atau melepaskan pemilikan rumah kepada orang lain, sama ada secara penuh (untuk keseluruhan kediaman) ataupun sebahagian dari kediaman (sewaan bilik).

"Bagi pihak yang telah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan dan dipersetujui ini, satu Notis Penamatan oleh Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan akan diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penyewa PPR tidak dibenarkan memberi sewa atau melepaskan pemilikan rumah kepada orang lain sama ada secara penuh iaitu melibatkan keseluruhan kediaman atau sebahagian dari kediamaan (sewa bilik).

Katanya lagi, perjanjian penjualan rumah PPR terdapat syarat yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Jual Beli & Surat Akuan Bersumpah, bahawa setiap unit PPR yang dibeli adalah “untuk diduduki oleh pembeli dan tidak akan disewakan kepada orang lain”.

"Mereka yang melanggar syarat yang ditetapkan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda oleh mahkamah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960, sekiranya didapati bersalah," katanya.

Maklumat yang sahih dan sah mengenai penyewaan dan pembelian unit kediaman PPR hanya akan dipaparkan di laman rasmi Jabatan Perumahan Negara KPKT, http://ehome.kpkt.gov.my.

-Bernama