Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Agong saran pekebun kecil pelbagaikan tanaman

PARLIMEN | Nasib pekebun kecil yang terkesan dengan kejatuhan harga komoditi sejak kebelakangan ini mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda membangkitkan perkara itu ketika bertitah merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-14 di parlimen hari ini.

Sultan Abdullah menarik perhatian bahawa kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah bagi meringankan beban mereka yang terlibat.

Ini termasuk mempergiat penyelidikan dan pemasaran industri hiliran agrikomoditi, penggunaan bio bahan api, penerokaan pasaran baharu dan bekerjasama dengan negara pengeluar lain bagi menstabilkan harga komoditi berkenaan di pasaran antarabangsa.

"Pekebun kecil juga disaran mempelbagaikan tanaman mereka serta meneroka peluang tanaman-tanaman baharu yang dapat memberi pulangan lebih baik agar kesan kejatuhan harga komoditi dapat dikurangkan," titah baginda.

Ketua Negara itu turut mahu kerajaan mengambil langkah strategik bagi menangani halangan perdagangan ke atas minyak sawit dan produk berasaskan sawit khususnya oleh Eropah.

Turut berangkat ke istiadat pembukaan itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Hadir sama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sultan Abdullah seterusnya bertitah kerajaan akan terus membangunkan sektor agromakanan bukan setakat untuk menjamin bekalan makanan malah untuk meningkatkan eksport negara.

Seri Paduka turut sukacita Malaysia kini dilihat sebagai model pembangunan industri halal yang menjadi antara komponen penyumbang kepada ekonomi dengan nilai eksport lebih RM43 bilion.

"Dalam hal ini, Beta percaya Pelan Induk Industri Halal 2.0 akan terus memperkukuhkan industri halal negara di peringkat nasional dan antarabangsa," titah Sultan Abdullah.

- Bernama