Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

'Miti akan jelaskan dakwaan 38 pemegang AP baru minggu ini'

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan sebuah portal automotif bahawa kerajaan telah meluluskan 38 pemegang permit import kereta (AP) baru.

Timbalan Menteri Ong Kian Ming mengesahkan hal ini kepada Malaysiakini ketika ditanya perkembangan kes tersebut.

Jumaat lalu, MP DAP itu memberitahu Malaysiakini beliau sedang mengesahkan perkara berkenaan dengan bahagian AP kementerian.

Ketika ditanya hari ini, Ong menjawab: "Miti akan mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini tidak lama lagi."

Ketika ditanya berapa lama tempoh yang akan diambil, Ong berkata beliau menjangkakan kenyataan akan dibuat Miti pada minggu ini.

DS&F (Drive Safe and Fast) dalam artikelnya minggu lalu berkata mengetahui perkara ini daripada pemegang AP yang lama.

"Beliau telah mengesahkan kepada kami terdapat 38 pemegang AP baru di Malaysia. Ya, kerajaan baru telah memberikan 'hak' kepada 38 pengimport kereta yang baru untuk membuat duit dengan 'cara mudah'.

Hanya mahukan bayaran

"Daripada apa yang kami temukan, kebanyakan pemegang 38 AP baru telah mula bercakap dengan pemegang AP sedia ada untuk 'membeli' AP daripada mereka (pemegang permit import baru) kerana mereka tidak berada dalam perniagaan kereta dan sebaliknya hanya mahukan bayaran sebanyak RM18,000 hingga RM22,000 untuk (setiap) satu AP," kata portal itu.

Menurut DS&F lagi, kuota tahunan yang biasanya diberikan kepada pemegang AP yang telah lama dikurangkan untuk menampung penerima AP baru ini.

"(Ini) bermakna jumlah keseluruhan AP yang dikeluarkan masih kekal sama. Cuma kekayaan AP sekarang dibahagikan pula secara sama rata dengan 38 pemain baru yang kebanyakannya menjual AP mereka dan tidak melakukan perniagaan import kereta," katanya lagi.

Dalam wawancara bersama BFM pada November lalu, Ong berkata kerajaan tidak merancang untuk menghapuskan sistem AP tetapi akan mengkaji semula untuk memastikan tidak berlaku penyalahgunaan.

"Tiada rancangan sekarang untuk menghapuskan sistem AP, saya rasa apa yang kami cuba lakukan sekarang adalah untuk mengkaji semula sistem ini supaya kamu tidak berhadapan keadaan di mana 'perniagaan Ali Baba' digunakan dalam proses AP, di mana orang hanya memohon AP ini supaya menjadi pemegang permit dan kemudian menjualnya kepada orang lain pada harga yang meningkat," katanya menjelaskan proses itu disemak semula untuk memastikan pihak yang layak saja mendapat AP.

Berucap di Kongres Ekonomi Bumiputera pada September lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pada masa lalu, banyak peluang perniagaan telah diberikan kepada bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), tetapi ramai yang menjual kontrak dan AP untuk mengaut keuntungan.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan akan membatalkan kontrak dan AP yang diberikan kepada mereka jika mereka menjualnya kepada pihak ketiga.

[Baca berita penuh]