Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Kes denggi naik 628.6 peratus di T'ganu awal tahun ini

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu merekodkan sebanyak 204 kes demam denggi dari 1 Januari hingga 2 Mac tahun ini, peningkatan sebanyak 628.6 peratus berbanding 28 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Jusoh berkata daerah Kuala Terengganu mencatatkan bilangan kes tertinggi sebanyak 114 kes diikuti Kuala Nerus (27 kes), Dungun (21 kes), Marang (19 kes), Besut (12 kes), Kemaman (lima kes) dan masing-masing tiga kes di Hulu Terengganu dan Setiu.

"Sehingga 2 Mac lalu, terdapat tujuh episod wabak berlaku di Terengganu iaitu tiga episod di Kuala Terengganu, masing-masing dua episod di Kuala Nerus dan Marang. Daerah-daerah lain masih mengekalkan sifar wabak denggi. Semua episod wabak ini telah pun tamat dan merupakan wabak terkawal.

"Sebanyak 63 aktiviti gotong-royong telah dijalankan di seluruh negeri dalam usaha mencegah demam denggi dan hari ini kita adakan gotong royong perdana di Dungun," katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 32,582 premis telah diperiksa setakat ini dan daripada jumlah itu, 514 premis didapati positif pembiakan Aedes. Sebanyak 240 premis pula telah dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000).

"Kita juga telah membuat semburan kabus di 35,161 premis serta proses larvisiding di 25,781 premis setakat ini,” katanya.

- Bernama