Bunuh kesalahan dadah tak jelas nasnya - Subky
ULASAN | Saya tonton Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 malam Khamis 21 Februari 2019 tentang cegah dadah di Malaysia sekalipun hukumnya, mati mandatori bagi pengedar.
Kedua-dua panelis – seorang ustazah, seorang ustaz datuk – masyghul meskipun banyak yang kerajaan buat termasuk hukuman mati, wabak dadah tidak berkurangan bahkan bertambah puluhan ribu setahun.
Maka siapa salah? Apa patut dibuat?
Semua akan Tuhan tanya atas gara-gara itu. Ulama, guru, pentadbir dan paling dibebankan ialah ibu bapa.
Maka akhirnya ibu bapalah dilonggokkan semuanya, sedang semuanya ahli pendidik dan masa mereka dengan anak-anak terhad, malah kuasa mengawal anak-anak hanya di rumah dan kuasa yang masyarakat moden beri kepada ibu bapa amat terhad.
Saya menunggu apa saranan bagi membanterasnya? Banyak cadangan akademik oleh Pak Ustaz. Ia tidak lebih dari teori.
Jika polis dan mahkamah dengan kuasa dan undang-undang yang ada tidak dapat buat apa-apa, apa ibu bapa yang amat lemah itu dapat buat?
Masyarakat berjenayah juga
Peri peranan ibu bapa dan masyarakat itu telah ada sejak sebelum zaman Nabi Nuh lagi, sedang anggota masyarakat berjenayah juga. Sejak itu mereka membinasakan diri sendiri dan sejak itu kita ketahui sampah masyarakat itu Allah binasakan.
Demi membanteras gejala pemusnah itu Allah kirim nabi dan rasul membawa ubatnya, peraturan Allah yang dinamakan syariah.
Perundangan yang sekalian nabi bawa itu bukan sekadar rukun terbaik menyelamatkan manusia, bahkan ia membawa nikmat penggerun.
Orang takut melanggar peraturan. Gerun dan takut itu menyelamatkan manusia. Kebanyakannya ingkar juga, maka Allah binasakan hingga tidak berbenih.
Dadah zaman ini adalah gejala pemusnah kemanusiaan. Ubatnya sudah disampai melalui al-Quran. Nabi dan ulama saja tidak dapat mencegahnya melainkan ditegakkan syariah. Bani Israil ramai nabi dan ulama. Bila ajaran Taurat dan Injil dibakulsampahkan ia dilaknat.
Al-Quran dan hadis bukan sekadar untuk dihafal tetapi dilaksanakan. Tiada berguna alim ilmu solat tapi tidak sembahayang.
Para orientalis mahir semua ilmu Islam tetapi bukan untuk beriman. Sedunia manusia disesatkannya termasuk semua kerajaan Islam, memakai peraturan tidak Islam seperti pencegahan dadah, hanya membawa kebinasaan.
Saya tunggu panelis sebutkan ubatnya iaitu kuat kuasakan syariah. Meraka tidak sebut, puji semua yang kerajaan sudah buat, tetapi kerajaan dengan ulamanya yang tidak sedikit, ditempelak Allah.
Kerajaan sejak merdeka ajak qari/qariah dari seluruh dunia bertilawah al-Quran di sini, cetak al-Quran banyak-banyak, baca pagi dan petang, bina masjid banyak dan indah, tapi peraturan Islam dibakul sampahkan.
Al-Quran suruh murtad dibunuh. Bunuh atas dadah tiada jelas nasnya. Diqiaskan ia boleh membunuh ramai, maka diperaturankan mereka dihukum bunuh.
Campur murtad dan dadah hukum bunuh tidak menakutkan sesiapa dan tidak menjadi rahmat sedang kedatangan Rasulullah SAW itu memberi rahmat kepada alam.
Patutnya ustaz sebut, mengaji syariah bukan untuk alim dan pakar, tapi untuk dilaksana seperti ngaji fekah sembahyang untuk solat. Mengajar Islam dan syariat di universiti demi mendaulatkannya.
Suruh PAS saja perjuang RUU355 tidak memadai. Bagi tahu wajib kerajaan daulatkan ia. Peranan ibu bapa besar, tapi jadi kecil dibandingkan tanggungjawab kerajaan.
Bila kerajaan perkecil syariah, hukum bunuh atas kesalahan dadah jadi sia-sia.
Jangan tipu kerajaan betapa ia telah buat semua. Ibu bapa berperanan tapi kerajaan yang tidak berperanan, menyediakan kemusnahan untuk semua. Tunggulah!
SUBKY LATIF ialah bekas wartawan kanan dan veteran PAS. Artikel ini asalnya diterbitkan Harakahdaily hari ini dengan judul "Hukuman mati gagal banteras dadah"
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai