Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

MIC: Kenapa DAP boleh 'kahwini' PAS, parti lain tak boleh?

MIC mempersoalkan DAP yang mengkritik kerjasama Umno dengan PAS, dengan menyorot bahawa DAP sendiri pernah bekerjasama dengan parti itu.

"DAP pernah bekerja dengan PAS dalam (lebih) dua pilihan raya (umum).

"Apabila mereka (DAP) 'berkahwin' (dengan PAS) itu sah, tapi bila kita mahu 'kahwin' (dengan PAS) ia jadi tak sah?" soal Presiden MIC SA Vigneswaran pada sidang media hari ini.

DAP pernah menubuhkan pakatan bersama PAS, termasuklah pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013, iaitu Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, kedua-dua parti itu tidak sefahaman pada 2015 yang seterusnya menyaksikan Pakatan Rakyat berkubur.

Selepas pertukaran kerajaan pada PRU lalu, MIC, bersama Umno, menjalinkan kerjasama rapat dengan PAS.

Vigneswaran berkata MIC tidak mempunyai masalah berkerjasama dengan PAS sebagai pembangkang.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata partinya terbuka untuk bekrjasama dengan PAS dalam isu tertentu.

"Pendirian MCA jelas. Kita perlu memantau agar semangat BN adalah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam mesyuarat (ahli majlis tertinggi BN), kita sudah kata berulang kali: Kita tak ada masalah untuk bekerja dengan mana-mana parti termasuk PAS jika ia demi kepentingan rakyat," katanya pada sidang media hari ini.

Wee dan Vigneswaran juga menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai BN dan agenda Melayu antara Umno dan PAS adalah hal kedua-dua parti itu.