Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

'Ku Nan setiausaha BN, bukan Nazri Aziz'

Pemangku pengerusi BN Mohamad Hasan hari ini mengumumkan Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai setiausaha agung gabungan itu sehingga beliau letak jawatan atau diberhentikan.

“Ku Nan masih lagi setiausaha agung dan telah bersetuju untuk terus jadi setiausaha agung sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Tengku Adnan

Mohamad berkata lantikan Nazri Abdul Aziz ke jawatan itu sebelum ini tidak pernah disahkan.

Tengku Adnan juga, katanya, tidak pernah meletakkan jawatan atau digugurkan.

“Bukan kata tak sah tapi tidak formalise (dibuat secara rasmi). Dalam BN, ia mesti dibawa dalam mesyuarat, dicadang serta disokong dalam dewan," katanya.

Pelantikan Nazri dibuat tahun lalu oleh pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid mengumumkan perkara itu ketika berucap di perhimpunan agung MIC pada 27 Oktober lalu.

Bagaimanapun MCA dan MIC berkata lantikan itu tidak sah kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan perlembagaan BN, yang mewajibkan pengerusi memaklumkan lantikan itu kepada majlis tertinggi.

Pertikaman lidah antara dua parti itu dengan Nazri tercetus susulan kenyataannya berkenaan sekolah vernakular ketika kempen PRK Semenyih.

5 Mac lalu, anggota Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan berkata Nazri selaku setiausaha agung BN sepatutnya lebih diplomatik dan menjadi pendamai dalam menangani isu dalaman gabungan itu.