Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Mat Hasan: MCA, MIC sayangkan BN...

Sehari sebelum Dewan Tertinggi BN bersidang esok, pemangku pengerusi Mohamad Hasan yakin dua daripada tiga parti komponennya tidak akan meninggalkan gabungan itu di sebalik rungutan yang ditimbulkan.

"Saya tak fikir MIC dan MCA mahu meninggalkan Umno," kata Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad yang juga pemangku presiden Umno sebelum itu ditanya mengenai kedudukan MCA dan MIC dalam BN.

Sebelum ini presiden kedua-dua parti membayangkan beberapa pilihan yang ada pada mereka selepas ada pemimpin Umno didakwa membuat kenyataan berbau perkauman.

Malah menurut sumber, antara pilihan yang dipertimbangkan MCA dan MIC ialah menendang Umno keluar daripada BN.

Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata, Umno tidak membincangkan isu BN dalam mesyuaratnya hari ini.

"Mereka (MCA dan MIC) sangat prihatin kerana mereka lebih sayangkan BN. Sebab itulah mereka berkata imej BN perlu dipelihara," katanya.

Awal minggu ini Presiden MCA Dr Wee Ka Siong dan S A Vigneswaran (MIC) mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mahu meneroka pakatan baru.

Bagaimanapun Wee dan Vigneswaran tidak menyatakan secara jelas rancangan mereka untuk meninggalkan BN.

Hubungan di antara MCA dan Umno tegang selepas Setiausaha Agung BN, Nazri Aziz, menganggap parti Cina itu bukan lagi sebahagian daripada anggota gabungan berkenaan.

Wee dan Vigneswaran kemudian menganggap Nazri bukan setiausaha agung BN yang sah dan meminta dia digantikan.