Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Azmin: Bagaimana PAS boleh bersama parti dah rosak?

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, berkata beliau tidak nampak di mana keperluan untuk PAS mengadakan kerjasama rasmi dengan Umno selepas parti itu ditolak pada PRU yang lalu.

Menyifatkan Umno sebagai sebuah parti yang sudah rosak, Azmin bagaimanapun berkata PAS memang ada hak untuk mengambil tindakan tersebut.

"Saya tidak nampak bagaimana PAS boleh bergabung (bekerjasama secara rasmi) dengan parti yang telah rosak, yang ditolak oleh rakyat.

"Namun itu pilihan mereka. Mana-mana parti politik ada strategi masing-masing," katanya.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi menambah, PKR sendiri pun pernah membentuk beberapa gabungan sebelum ini, seperti Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Terdahulu Azmin mengadakan pertemuan dengan Majlis Pimpinan PKR Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kerjasama rasmi antara PAS dan Umno yang diumumkan semalam.

Azmin berkata, sekiranya itu menjadipilihan PAS ia adalah hak parti terbabit.

"Sekarang kalau mereka memilih untuk bergabung dengan Umno itu pilihan mereka, tetapi yakinlah rakyat di bawah telah mengambil keputusan dalam PRU ke-14 untuk tolak Umno kerana rasuah dan kerakusan yang luar biasa," tegasnya.

Sementara itu, Azmin berkata pihaknya kita memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan PH.

"Saya dan kepimpinan (PKR) ingin memperkukuhkan PH, dan kita sudah ada kerangka kerja yang jelas dan insya-Allah kita akan laksanakan di semua peringkat," ujarnya.