Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Pulau Kukup diwartakan semula sebagai hutan simpan

Status Pulau Kukup sebagai taman negara sudah dikembalikan, menurut pewartaan kerajaan negeri yang disiarkan 31 Jan lalu.

Warta berkenaan menyatakan bahawa tanah di kawasan itu akan dilindungi memandangkan Taman Negara Pulau Kukup terletak di bawah pemantauan Pengarah Taman Negara (Johor), seperti yang diputuskan kerajaan negeri pada 7 Jan.

Disember lalu, Malaysiakini mendedahkan status Pulau Kukup bukan lagi taman negara sejak Oktober tahun lalu.

Ia susulan keputusan yang dibuat kabinet negeri Mac tahun lalu, ketika kerajaan negeri masih ditadbir BN.

Pada mulanya, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa orang ramai tidak diperbesar-besarkan dan dipolitikkan, kerana tanah itu akan ditukar menjadi "tanah kesultanan" meski kekal sebagai taman negara.

Susulan itu, Dis tahun lalu, Menteri Besar Johor memaklumkan dewan undangan negeri bahawa Pulau Kukup akan kekal sebagai tanah negara meskipun statusnya ditukar.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kemudian bertitah agar Pulau Kukup diwartakan sebagai taman negara menurut Jadual II Enakmen Tanah Kesultanan 1934.

Bagaimanapun, pewartaan 31 Jan menyatakan bahawa kerajaan negeri menguatkuasakan semula Subseksyen 3(4) Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989.

Pulau Kukup merupakan salah satu daripada sebilangan kecil lahan basah yang masih kekal asli di Asia Tenggara, dan satu daripada lima tapak Ramsar di Malaysia.

Dua yang lain ialah hutan bakau Sungai Pulai dan hutan bakau Tanjung Piai.

Dalam laporan khas bulan lalu, Malaysiakini mendedahkan bagaimana kerajaan Johor pada 2017 meluluskan sebahagian hutan bakau Sungai Pulai dijadikan resort golf berkeluasan 800 hektar.

Menurut Rancangan Tempatan Daerah Johor Bahru dan Kulai 2025 (Penggantian), hutan bakau Sungai Pulai merupakan "Kawasan Sensitif Kawasan Peringkat 1" (ESA Rank 1).

ESA Rank 1 bermaksud tiada pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali kawasan pelancongan, penyelidikan dan pendidikan alam semula jadi.

[Baca berita asal]